suria

Hospital Kuala Kangsar Sesuai Dinaik Taraf Kepada Hospital Pakar Minor

Dr Hilmi (tengah) mendengar penerangan daripada Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Perubatan) Datuk Dr Rahimi Goon (kanan) ketika lawatan kerja beliau ke Hospital Kuala Kangsar pada Ahad. -fotoBERNAMA

KUALA KANGSAR: Kementerian Kesihatan menyambut baik cadangan untuk menaik taraf Hospital Kuala Kangsar (HKK) di sini untuk dijadikan Hospital Pakar Minor dalam usaha menyediakan khidmat perubatan dan kesihatan yang lebih baik kepada penduduk daerah ini.

Timbalan menterinya Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata, cadangan yang diusulkan pihak pengurusan hospital itu sesuai dilaksanakan di HKK kerana ia akan memudahkan pesakit di daerah ini untuk mendapatkan khidmat rawatan pakar.

Beliau berkata, buat masa ini, semua pesakit di HKK yang perlu mendapatkan rawatan pakar terpaksa dirujuk ke Hospital Ipoh dan Taiping yang memiliki doktor pakar residen.

"Ia berbeza dengan situasi di HKK yang mana hospital ini hanya dilawati tiga hingga empat kali dalam tempoh sebulan oleh beberapa orang doktor pakar terutamanya daripada Hospital Ipoh dan Taiping.

Bagaimanapun, usaha untuk merealisasikan cadangan menjadikan HKK sebagai Hospital Pakar Minor mungkin mengambil masa yang panjang kerana negara masih kekurangan khidmat doktor pakar," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas program lawatan kerja ke HKK dan Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Kangsar, di sini, Ahad yang turut dihadiri Timbalan  Pengarah Kesihatan Negeri (Perubatan), Datuk Dr Rahimi Goon.

Tambahnya, beberapa kemudahan di HKK akan dinaik taraf bagi memberi keselesaan kepada pesakit, staf dan pelawat melibatkan pelebaran ruang kecemasan hospital dan mengubah laluan pintu masuk utama yang ketika ini dilihat berisiko menyebabkan kemalangan. - BERNAMA

Artikel Lain