suria

Cuti 30 Hari Tempoh Memeritkan - Nazir Razak

Nazir Tun Razak.

KUALA LUMPUR: Pengerusi CIMB Group Holdings Bhd Datuk Seri Nazir Tun Razak berkata cuti secara sukarela selama 30 hari bermula 19 April merupakan satu tempoh yang 'memeritkan' dan bukanlah waktu menyenangkan.

Susulan laporan Wall Street Journal pada 31 Mac bahawa Nazir telah mengendalikan US$7 juta bagi pihak abangnya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, CIMB Bank perlu menyiasat hingga ke akar umbi.

"Lembaga Pengarah bank perlu memutuskan sama ada saya telah melakukan kesalahan dan sama ada mereka masih mahukan saya sebagai pengerusi.

"Saya berpendapat bagi mereka melakukannya dengan betul, saya perlu berundur," kata beliau dalam rancangan terbitan Astro Awani, 'Obviously Harith Iskander' malam Sabtu.

Setelah beliau bercuti, bank melantik firma audit luar, Messrs Ernst  and  Young untuk membantu dalam semakan yang akhirnya mendapati Nazir tidak menyalahgunakan kedudukannya sebagai Ketua Eksekutif Kumpulan pada ketika itu atau wujud sebarang bukti bahawa sumber-sumber bank itu diselewengkan.

Pada 18 Mei, CIMB Bank mengeluarkan kenyataan bahawa semakan itu turut mengenal pasti beberapa kelemahan yang disusuli arahan Lembaga Pengarah supaya pihak pengurusan melakukan usaha penambahbaikan dengan segera.

Selain bertujuan mengukuhkan peraturan dalaman dan proses berkaitan bagi mengelak kejadian itu berulang, langkah itu juga dilakukan demi kemajuan masa depan kumpulan CIMB.

"Saya sudah berada dalam perniagaan selama 25 tahun, termasuk 15 tahun sebagai ketua eksekutif... dan sepanjang tempoh itu, saya terpaksa membuat keputusan segera. Saya berharap sebahagian daripadanya adalah baik," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain