suria

Kem BN Patut Henti Politik Persaingan Dengan DAP - Ikatan

Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir
KUALA LUMPUR: Pemimpin-pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) seharusnya berhenti bermain 'politik persaingan' dengan DAP untuk membuktikan siapa lebih hebat di mata rakyat.

Presiden Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir berkata ini kerana jika permainan itu masih diteruskan khasnya berkaitan Akta Persendirian dibentangkan PAS di Parlimen sebelum ini, ia akan memberi bahaya kepada negara, rakyat dan parti politik berkenaan.

"Saya tidak faham kenapa MCA, MIC dan Gerakan membuat kenyataan tentangan begitu kuat terhadap akta tersebut. Adalah sangat jelas bagi kita semua bahawa cadangan tersebut untuk memperkasa Mahkamah Syariah dan ia tiada kena mengena dengan hudud seperti difahami.

"Ia juga tidak bertentangan dengan Perlembagaan negara," katanya dalam kenyataan di sini, Rabu.

Abdul Kadir berkata seharusnya MCA, MIC dan Gerakan mencari semula formula kejayaan di mata rakyat yang pernah diraih suatu ketika dahulu dan tidak terikut-ikut dengan 'politik persaingan' ini.

Beliau juga berharap permainan itu dihentikan dan tidak diberi populariti agar tidak membahayakan hubungan antara orang Islam dan bukan Islam.

Pada 26 Mei, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang membentangkan Rang Undang-undang Persendirian di Dewan Rakyat, bertujuan meminda Seksyen 2 Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.

Rang undang-undang itu menyebut Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa terhadap orang Islam, dan hal-hal kesalahan di bawah perkara yang disenaraikan dalam Butiran 1 Senarai Negeri di bawah Jadual Kesembilan Undang-Undang Persekutuan.

Ia juga bagi memasukkan Seksyen 2A, yang menyebut dalam melaksanakan undang-undang jenayah di bawah Seksyen 2A, Mahkamah Syariah mempunyai hak untuk menjatuhi hukuman berkaitan kesalahan-kesalahan yang disenaraikan di bawah seksyen berkenaan selain hukuman mati.

Artikel Berikut

Artikel Lain