suria

Muktamar Dewan Pemuda PAS 'Black Out'

Masalah teknikal menyebabkan Muktamar Pemuda PAS yang berlangsung di KTC terpaksa ditangguhkan.

KOTA BARU: Muktamar Dewan Pemuda PAS ke-57 yang memasuki hari kedua dihentikan seketika berikutan gangguan bekalan elektrik di dewan utama Kelantan Trade Centre (KTC) di sini, Rabu.

Insiden berlaku pada kira-kira 12.10 tengah hari semasa ucapan wakil Turki, Fatih Ayden.

Difahamkan, ia berpunca daripada masalah teknikal yang menyebabkan sesi perbahasan terpaksa ditangguhkan.

Hanya selepas lebih 10 minit, wakil Pemuda PAS di pentas membuat pengumuman kepada perwakilan supaya menikmati makan tengah hari sementara menunggu masalah itu selesai.

"Kita menghentikan sesi perbahasan. Perwakilan boleh menikmati makan tengah hari.

"Kita perlu berhenti kerana masalah teknikal. Kita akan bersambung semula pada pukul 1.45 petang," katanya.

Bagaimanapun, pada kira-kira pukul 2 petang, persidangan sayap parti itu diteruskan sebaik masalah bekalan elektrik di KTC berjaya diatasi.



Dewan Pemuda PAS, Fatih Ayden, KTC