suria

TMJ Zahir Sokongan Penuh Kepada PDRM Johor

JOHOR BARU: Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada Isnin menzahirkan sokongan penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) Johor dalam merealisasi dan menjalankan tanggungjawab memelihara kedaulatan bangsa dan negara khususnya untuk Bangsa Johor.

Berucap pada majlis 'Sepetang Bersama Warga PDRM Johor' di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini Isnin, Tunku Ismail turut berharap seluruh pegawai dan anggota polis Johor terus maju dan berusaha memberi yang terbaik dalam menegakkan keadilan.

"Pelbagai cabaran dihadapi semua warga PDRM dalam menjalankan tugas. Berhujan, berpanas, mengejar penjenayah dan membantu masyarakat dalam apa jua keadaan menampakkan bahawa PDRM Malaysia khususnya kontinjen Johor ini tidak pernah gentar dengan apa jua halangan," kata beliau.

Turut hadir, Ketua Polis Johor Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd dan Timbalan Ketua Polis Johor Datuk Mohd Zakaria Ahmad.

Pada majlis itu, Tunku Ismail turut berkenan menyampaikan sumbangan berjumlah RM100,000 untuk Tabung Kebajikan Sukan dan Sosial (TKSS) PDRM Johor.

Tunku Ismail berkata majlis berkenaan dapat mengeratkan lagi hubungan institusi diraja bersama polis Johor, dan sumbangan yang disampaikan baginda itu adalah untuk membantu kebajikan warga polis Johor.

Jelas beliau lagi, polis Johor sentiasa memberikan kerjasama yang baik dan juga berjaya membina hubungan dengan masyarakat sehingga mampu menurunkan kadar jenayah ke tahap memuaskan.

Tunku Ismail berkata beliau percaya semua kejayaan dikecapi sekarang adalah gabungan yang mantap daripada pucuk pimpinan kontinjen Polis Johor dan semua ketua jabatan serta daerah.

"Kemajuan dan kemakmuran negeri hanya boleh dicapai dengan perpaduan kukuh antara semua pihak di bawah satu rumpun dan naungan yang sama.

"PDRM Johor juga perlu sentiasa memupuk hubungan baik dengan masyarakat demi kemakmuran negeri kerana tiada negeri yang boleh maju jika rakyat berpecah. Ikatan perpaduan perlu dikukuhkan untuk menjadi satu bangsa yang kuat dan berjaya," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain