suria

Pemburu Haram Kini Diburu

PUTRAJAYA: Pemburu haram hidupan liar kini berhadapan resiko yang lebih serius daripada pihak berkuasa Malaysia.

Golongan berkenaan bakal berhadapan tekanan sama ada daripada sudut undang-undang mahupun pihak pengautkuasa yang dilengkapi senjata api.

Menerusi temu bual dengan The Star, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pihak berkuasa sedang mengkaji kemungkinan pegawai penguatkuasa akan dibekalkan dengan senjata api.

"Kami telah diberikan beberapa senjata api oleh Kementerian Dalam Negeri. Jika ada permintaan dan keperluan, saya bersedia untuk bertemu Timbalan Perdana Menteri (yang juga Menteri Dalam Negeri) untuk melihat bagaimana kita boleh siap sediakan pegawai kami," katanya.

Kajian terbaru menunjukkan bahawa renjer di 11 negara termasuk Malaysia berhadapan ancaman nyawa daripada pemburu haram dan masyarakat.

"Pemburu pergi ke hutan membawa senjata tetapi orang kita membawa parang. Jika kita mempunyai pegawai yang dilengkapi senjata, mereka mempunyai kelebihan. Kita perlu melihat dalam perspektif ini," kata Wan Junaidi.

Beliau ditanya sama ada kementerian akan mempertimbangkan kemungkinan untuk membekalkan senjata kepada pegawai penguatkuasa hidupan liar di Semenanjung Malaysia susulan kes pemburu haram bersenjata yang semakin berleluasa.

Selain itu Wan Junadi berkata di bawah Seksyen 8 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010, pegawai penguatkuasa Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) telah diberi kuasa untuk membawa senjata dalam menjalankan tugas mereka.

"Pihak berkuasa yang terlibat dalam operasi itu akan dibekalkan dengan senjata oleh jabatan.

"Ada juga operasi bersama dengan agensi penguatkuasaan lain seperti tentera dan polis jika terdapat risiko yang melibatkan jenayah hidupan liar," katanya.

Laporan Jenayah Hidupan Liar Dunia Bangsa-Bangsa Bersatu yang pertama mendapati bahawa Malaysia sebagai salah satu negara pengeksport kulit reptilia kulit secara tidak sah.

Sehubungan itu Wan Junaidi berkata, kementerian itu juga sedang mengkaji untuk meminda Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010, yang membolehkan pesalah didenda sehingga RM1 juta dan sebatan.

Pada masa ini, hukuman paling tinggi yang boleh dikenakan ke atas pesalah di bawah akta adalah denda sehingga RM500,000 dan penjara tidak lebih daripada lima tahun.

"Dalam tempoh lima tahun pelaksanaannya, kerajaan mendapati terdapat keperluan untuk meminda akta yang sedang berkuat kuasa sekarang," katanya.

Pemburu Haram, Perhilitan

Artikel Berikut

Artikel Lain