suria

Kedai Emas Kerugian RM50,000 Disamun Tiga Lelaki, Seorang Perempuan

SUNGAI PETANI: Sebuah kedai emas di Jalan Ibrahim, di sini, kerugian kira-kira RM50,000 selepas disamun tiga lelaki dan seorang wanita, pada pukul 2.48 petang Ahad.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Md Zukir Md Isa berkata, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), kejadian berlaku dalam tempoh seminit sahaja.

"Siasatan mendapati suspek yang terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita menaiki dua motosikal. Sebaik masuk ke kedai itu, seorang suspek bertindak memecahkan cermin kaunter pameran barang kemas menggunakan objek keras dipercayai besi atau kayu.

"Sementara itu, seorang lagi suspek bertindak melarikan dua dulang barang kemas berupa rantai leher emas dan rantai kaki emas, yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM50,000," katanya kepada Bernama.

Md Zukir berkata, tiada pelanggan semasa kejadian dan siasatan mendapati terdapat lima pekerja termasuk pemilik kedai berada di premis tersebut ketika itu.

"Kejadian ini dipercayai dilakukan kumpulan yang sama dengan kes samun kedai emas sebelum ini memandangkan modus operandinya hampir sama.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan," katanya.

Pada 19 Mac lalu, sebuah kedai emas di Jalan Pengkalan, di sini kerugian kira-kira RM200,000 selepas disamun tiga lelaki dan seorang perempuan yang menaiki dua motosikal, dalam kejadian kira-kira pukul 3.25 petang.

Samun, Kedai Emas

Artikel Sebelum

Artikel Lain