suria

Gelombang Kedua Dasar Pandang Ke Timur Mampu Lonjak R&D Malaysia

Ahmad Zahid (kanan) disambut pelajar Malaysia di Jepun ketika hadir pada majlis makan malam bersama pelajar dan komuniti Malaysia di Palace Hotel pada Ahad malam. -fotoBERNAMA

TOKYO: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan lawatan kerja lima harinya ke Tokyo adalah susulan gelombang kedua Dasar Pandang ke Timur (LEP 2.0) yang mampu melonjakkan mutu penyelidikan dan pembangunan (R and D) negara pada masa depan.

Malah, jelasnya, LEP 2.0 penting kepada Malaysia berikutan kemampuan dasar  yang diperkenalkan pada 1982 mempersiapkan Malaysia ke arah mencapai status negara maju menjelang tahun 2020.

"Peratusan perbelanjaan R and D Malaysia agak rendah iaitu pada paras dua peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sedangkan perbelanjaan Jepun dan beberapa negara maju bagi tujuan itu adalah sekitar 10 peratus.

"Perkara ini disebabkan oleh kekangan kewangan, namun saya yakin kalau kita mahu berada pada tahap yang tinggi dalam teknologi serta bidang yang memerlukan pelaburan penyelidikan yang tinggi, ia akan memberi keberhasilan bagi  satu tempoh yang panjang.

"Namun, jika peruntukan (yang telah disediakan) tidak mencukupi, saya yakin cendekiawan dan institusi pengajian tinggi mampu memberi sumbangan (kepada bidang R and D negara)," katanya kepada wartawan Malaysia di sini, Ahad.

Ahmad Zahid tiba pada tengah hari Ahad bagi memulakan lawatan pertamanya sebagai Timbalan Perdana Menteri ke negara matahari terbit itu.

Beliau dijadual bertemu rakan sejawatannya dari Jepun, Taro Aso, pada hari ketiga lawatan bagi mencerminkan komitmen berterusan Kuala Lumpur kepada Jepun.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid turut mengingatkan Malaysia perlu bersiap siaga dalam segala aspek kerana selain bergelar negara berpendapatan tinggi, rakyat juga perlu memiliki sikap serta pemikiran yang maju.

Malaysia memperkenalkan Dasar Pandang Ke Timur dalam usaha mencontohi etika dan teknik perniagaan negara-negara seperti Jepun dan Korea Selatan.

Ahmad Zahid Hamidi

Artikel Lain