suria

Hudud: Tiong Lai Beri Amaran Krisis Perlembagaan

Liow Tiong Lai.

KUALA LUMPUR: Jika Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian mengenai hudud di Parlimen, ia akan mencetuskan krisis perlembagaan, kata Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau yang merujuk kepada pembentangan RUU Persendirian mengenai hudud oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Khamis berkata, krisis nasional juga bakal berlaku.

"Perkara ini amat serius. Ia (hudud) akan menyebabkan krisis perlembagaan. Ia akan menjejaskan hubungan antara kaum di negara ini.

"Ia turut bertentangan dengan semangat Barisan Nasional (BN)," katanya mengenai kerjasama yang jelas antara Umno dan PAS dengan membenarkan RUU itu dibentangkan.

RUU itu disenaraikan sebagai item No.15 iaitu yang terakhir dalam peraturan mesyuarat Dewan Rakyat namun Ahli Parlimen Umno mengemukakan usul untuk mempercepatkan pembentangan RUU itu.

Bagaimanapun, Abdul Hadi mengejutkan memohon supaya usul itu ditangguhkan pada persidangan Dewan Rakyat, Oktober ini.

Tiong Lai berkata, MCA dan parti-parti BN yang lain amat kecewa apabila tidak dirujuk terlebih dahulu dan kelihatan seolah-olah Umno yang mengetahui perkara itu.

Beliau menyifatkan ia sebagai satu tindakan membelakangi parti-parti komponen BN.

"MCA akan membincangkan perkara ini dengan parti-parti komponen lain," katanya.

Tiong Lai turut mengingatkan Umno bahawa BN terdiri daripada 13 parti komponen dan kesemuanya telah mencapai kata sepakat tahun lalu bagi menentang hudud di Parlimen.

Beliau menegaskan bahawa MCA akan terus menentang perlaksanaan hudud di negara ini.

"Sekularisme di mana Perlembagaan Persekutuan ditubuhkan mesti dilindungi," kata Tiong Lai.

RUU berkenaan dilihat sebagai pasport untuk pelaksanaan undang-undang hudud yang boleh "merebak" dari Kelantan ke negeri-negeri lain.

Jika RUU itu diluluskan, ia akan memberikan kuasa kepada kerajaan negeri Kelantan untuk mengenakan hukuman hudud di negeri itu.

Tiong Lai berkata, MCA bertekad untuk memastikan kerajaan mengekalkan struktur sistem undang-undang di Malaysia yang sedia ada, direka berdasarkan "semangat dan tujuan Perlembagaan Persekutuan".

"Ini bagi memastikan keadilan untuk semua, tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang dalam masyarakat sekular," katanya.

Artikel Lain