suria

Keluarga Mangsa Maut Dihempap Papan Iklan Pertimbang Tindakan Undang-Undang

Lokasi kejadian seorang lelaki maut dihempap papan iklan di Melaka, Selasa lalu. Foto Sinar Harian

MELAKA: Keluarga Ahmad Yusop Omar, 64, yang meninggal dunia akibat dihempap papan iklan di Pokok Mangga di sini pada Selasa lepas, tidak menolak kemungkinan untuk mengambil tindakan undang-undang selepas siasatan terperinci terhadap insiden itu selesai. 

Anak bongsu Allahyarham, Farahniza, 27, berkata, tindakan itu bertujuan agar pihak bertanggungjawab lebih peka dengan keadaan papan iklan di bawah penyeliaan mereka dan mengelak insiden seperti itu daripada berulang.

"Kami sekeluarga reda dengan kejadian menimpa arwah ayah namun agak terkilan kerana kemalangan tersebut melibatkan papan iklan dan berlaku agak mengejut.

"Kami akan menunggu siasatan berhubung kejadian itu dalam beberapa hari lagi untuk mengambil keputusan sama ada mengambil tindakan saman terhadap pihak terlibat," katanya kepada Bernama di sini, Khamis.

Dalam kejadian pukul 7.15 pagi Selasa lepas, Ahmad Yusop sedang menunggang motosikal untuk pulang ke rumahnya di Taman Tangga Batu di sini, berhenti di lampu isyarat persimpangan Jalan Pokok Mangga menghala ke Klebang sebelum sebuah papan iklan di kiri jalan tiba-tiba tumbang lalu menghempapnya.

Mangsa yang bekerja sebagai pengawal keselamatan meninggal dunia di tempat kejadian. 

Mengulas lanjut, Farahniza berkata papan iklan tidak seharusnya dipasang di kawasan itu kerana kedudukannya berhampiran laluan kenderaan yang boleh mengundang kecelakaan terhadap pengguna yang melalui jalan tersebut. 

Beliau berkata, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron dan pihak Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) ada mengunjungi keluarganya di rumah mereka selepas kejadian itu dan menyalurkan sumbangan wang tunai kira-kira RM1,000. 

"Ini adalah kehilangan paling besar dalam keluarga kami setelah lima tahun lepas abang saya meninggal dunia akibat kanser paru-paru. Apa yang lebih menyebabkan saya dan ibu terkilan ialah kami tidak sempat berjumpa dengan ayah ketika dia menghembuskan nafas terakhir. Saya kini tinggal bersama ibu, anak dan suami," katanya.

Mengimbas semula kejadian itu, Farahniza berkata, beliau menerima berita berhubung kemalangan yang meragut nyawa bapanya itu daripada saudaranya yang melalui jalan berkenaan kira-kira 7.45 pagi.

Beliau kemudian bersama suami, Mohd Syazerul Md Deris, 35, dan ibu, Ramlah Bidin, 54, bergegas ke tempat kejadian dan melihat mayat bapanya terbaring di jalan tersebut dengan ditutupi kain.

Sementara itu, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron berkata, siasatan awal mendapati papan iklan itu adalah jenis sementara dan pemasangannya tidak mendapat kelulusan MBMB.

Beliau berkata, papan iklan itu, yang digunakan untuk memaparkan pelbagai kempen seperti ucapan musim perayaan, tidak memenuhi standard ditetapkan MBMB, malah pembina dan kontraktor papan iklan itu tiada dalam daftar MBMB.

"Ada banyak papan iklan substandard seperti ini yang menggunakan 'angle iron' atau 'channel iron' dipasang untuk tempoh tertentu. Papan iklan ini mungkin terpaksa dibuka selepas kempen tersebut selesai," katanya sambil menambah papan iklan itu dipasang sejak tahun 2009.

Idris berkata, MBMB telah mengambil tanggungjawab untuk menjalankan siasatan terperinci mengenai kejadian tersebut dan apa-apa isu berbangkit mengenai kejadian itu selepas ini.

Pada masa sama beliau agak kecewa atas laporan pihak tertentu yang mengatakan bahawa papan iklan itu adalah papan iklan khas untuk mempromosi kempen 'Don't Mess With Melaka' dan beliau turut menafikan papan iklan itu milik kerajaan negeri.

"Ia papan iklan ditampal imej kempen 'Don't Mess With Melaka' malah sebelum ini papan itu pernah ditampal banyak kempen, ia bukan papan iklan spesifik 'Don't Mess With Melaka'. Banyak bezanya di situ malah jika tidak betul faham boleh timbul persepsi negatif," katanya. - Bernama

Artikel Lain