suria

Solat Zuhur Di Dataran Kaabah

ASSALAMUALAIKUM.  Kawasan atau dataran Kaabah sering menjadi tumpuan tetamu Allah SWT untuk mengerjakan ibadat tawaf umrah, tawaf haji, sunat ataupun wada’. Justeru, tiada keadaan lengang di kawasan berkenaan apatah lagi dalam musim-musim tertentu.

Selain menjadi tumpuan untuk tawaf, dataran Kaabah juga menjadi perhatian jemaah untuk bersolat sunat, berdoa dan mengaji. Di garisan permulaan tawaf iaitu di penjuru Hajar Aswad, suasana sesak dan berpusu-pusu sukar digambarkan.

Hanya mereka yang sudah menjejakkan kaki ke Baitullah akan tahu suasana sesak di dataran Kaabah. Namun, ada waktu tertentu yang tidak menyulitkan tawaf iaitu selepas waktu Zuhur dan Asar. Pada waktu itu, cuaca panas menyebabkan jemaah kurang bertawaf dan berada di sekitar Hijir Ismail, makam Nabi Ibrahim dan Multazam.

Tidak ramai warga Malaysia yang bersedia untuk tawaf selepas Zuhur dan Asar kerana cuaca panas terik menyebabkan mereka kurang selesa dan memilih sesudah Maghrib atau Isyak untuk menyempurnakan tawaf.

Ketika menunaikan ibadat haji pada September tahun lalu, saya teringat sewaktu mengerjakan tawaf sebelum waktu Zuhur bersama-sama seorang jemaah yang saya kenali sebagai kak Zaini.

Pada hari itu, rombongan jemaah haji kami mengadakan ziarah luar dan miqat ketika itu ialah di masjid Hudaibiah. Selepas melafazkan niat umrah dan bertalbiah sehingga ke penginapan kami di Hotel Al-Jewar, kami membawa haluan masing-masing untuk menyempurnakan umrah.

Begitu juga saya dan kak Zaini yang ketika itu turut merebut peluang untuk menyempurnakan umrah untuk dihadiakan kepada insan yang sudahpun meninggal dunia. Sejurus tiba di Hotel Al-Jewar kami meletakkan barang-barang di dalam kamar dan masuk ke tandas untuk berwuduk sebelum turun semula ke lobi serta menuju ke Masjidil Haram.

Kami memasuki pintu satu iaitu King Abdul Aziz Gate yang ketika itu sedang pesat dibangunkan semula. Tanpa berlengah, kami terus memulakan langkah untuk menyempurnakan tawaf. 

“Ana jalan depan,” ujar kak Zaini.

“Baiklah,” balas saya.

Ketika tawaf, kita tidak boleh membelakangkan Kaabah dan niat ketika tawaf adalah kerana Allah Taala dan bukan untuk tujuan lain. Justeru, pembimbing umrah dan haji sering berpesan agar tidak mencari rakan, pasangan atau sesiapa sahaja yang tiba-tiba lenyap dari pandangan atau sisi kita.

Jemaah perlu fokus pada ibadat tawaf. Ia umpama solat. Biarpun tiada bacaan khusus yang perlu dihafal untuk tawaf tetapi kita digalakkan untuk berdoa serta membaca apa sahaja surah walaupun tawaf adalah lebih kepada perbuatan dan tidak menuntut jemaah untuk mengingati surah tertentu.

Tawaf menjadi mudah dan cepat jika di dataran Kaabah tidak dibanjiri jemaah lain tetapi mengambil masa dan boleh bermandi peluh apabila kita turut berada dalam lautan manusia.

Pusingan tawaf yang pertama hingga kelima, saya sedar kak Zaini masih di sisi saya tetapi apabila masuk pusingan keenam, saya tidak nampak lagi kak Zaini di sisi kiri atau kanan saya. Namun, saya tidak mencarinya kerana perlu menumpukan perhatian untuk menyelesaikan tawaf yang masih berbaki.

Kawasan di dataran Kaabah semakin penuh dengan jemaah lelaki. Saya sendirian bertawaf. Tiada kelibat warga Malaysia di sekitar dataran Kaabah. Rata-rata bangsa dari Arab, India, Pakistan dan Turki yang masih bertawaf.

Jam di menara Abraj Al Bait menunjukkan jam 12 tengah hari. Tidak sampai setengah jam sahaja lagi, azan Zuhur akan berkumandang. Jemaah lelaki mula berbaris di bahagian hadapan makam Nabi Ibrahim dan sedikit sebanyak menimbulkan kesulitan kepada jemaah untuk bertawaf.

Tawaf menjadi agak sulit kerana dataran semakin sesak namun saya nekad untuk menghabiskan pusingan terakhir. Kedengaran alat pembesar suara ditiup menandakan azan akan berkumandang pada bila-bila masa sahaja.

Sejurus itu, azan dilaungkan oleh muazin. Saya dan jemaah lain terus bertawaf walaupun keadaan semakin mendesak. Saya terus menyempurnakan tawaf walaupun di sekeliling saya hampir semua jemaah lelaki.

Sejurus selesai pusingan ketujuh saya keluar dari pusingan tawaf dan mencari tempat yang sesuai untuk menunaikan solat. Mata saya hanya nampak barisan lelaki yang membentuk saf. Saya terus berjalan ke arah tempat saie untuk mencari ruang solat jemaah wanita. 



Sukar untuk saya memboloskan diri dalam barisan jemaah lelaki. Sejurus iqamat kedengaran, saya tiba-tiba panik kerana masih berada di dalam lingkungan jemaah lelaki. Umpama lemas seketika namun saya kuatkan juga semangat untuk mencari laluan ke jemaah wanita bersolat.

Dalam pada itu, saya bertanya kepada jemaah lelaki di mana tempat solat wanita dan mereka mengarahkan saya ke belakang. Saya sukar berjalan dalam barisan lelaki yang ramai tetapi dalam kerisauan itu lengan saya ditarik keluar dari barisan jemaah lelaki.

Saya tidak dapat mengenal pasti rupa paras lelaki itu tetapi dia menarik lengan saya dalam sekelip mata sehingga saya terkeluar dari barisan lelaki yang sudah bersusun membentuk saf. Alhamdulillah, terasa lega apabila tiba-tiba saya ternampak sekumpulan kecil jemaah wanita yang sedang bersedia untuk bersolat.

Tanpa berlengah saya meluru ke tempat solat jemaah wanita yang terletak di dataran Kaabah dan berhampiran sebuah kipas besar. Saf sudah terbentuk dengan begitu cantik di kawasan Kaabah.

Hanya sekumpulan kecil wanita yang bersolat di dataran berkenaan apatah lagi di bawah terik mentari yang memancar.

Selesai solat Zuhur dan bersolat sunat, saya minum air zamzam seketika dan meneruskan lagi perjalanan untuk ke Bukit Safa. Ketika itu, pelbagai persolaan bermain di fikiran.

“Adakah kak Zaini sudah selesai tawaf? Adakah dia juga seperti saya yang bergelut dengan lautan manusia ketika hampir masuk waktu Zuhur?” detik hati kecil saya.



Sejurus tiba di Bukit Safa, saya melihat telefon bimbit untuk memastikan adakah sebarang mesej daripada kak Zaini. Tiada. Kadangkala agak sukar juga untuk mendapat talian di dalam masjid. Adakala mesej dihantar lewat tiba kepada penerima.

Tanpa berlengah, saya melafazkan niat dan berdoa untuk memulakan saie pusingan pertama. Sendirian. Tidak pula saya terlihat kak Zaini ketika itu sehingga pada pusingan keenam, saya terima mesej daripadanya yang mengatakan ada di tiang bulat berhampiran Bukit Safa.

Saya mencarinya tetapi gagal. Entah kenapa, kami tidak ternampak satu sama lain sehingga saya selesai saie. Saya tidak lagi mencari dan selesai tujuh pusingan saie, saya pulang ke Hotel Al-Jewar. Letih dan lapar. Saya bersolat Asar di dalam kamar.

Berbeza pula dengan kak Zaini yang bersolat Asar di Masjidil Haram dan bertemu saya di dalam kamar. Kami bercerita pengalaman masing-masing. Rupa-rupanya kak Zaini juga melalui pengalaman yang sama seperti saya, selesai tawaf selepas azan Zuhur berkumandang.

Walau apapun pengalaman yang dilalui, kami bersyukur kerana dapat menyempurnakan umrah sekali lagii dan bersolat di dataran Kaabah pada tengah hari itu.

Pesan saya, elakkan bertawaf setengah jam sebelum azan berkumandang untuk mengelakkan kesulitan di tengah-tengah barisan jemaah lelaki. 

Ikuti catatan pengalaman saya menerusi kolum ini minggu hadapan, insyaAllah.

*Tawaf mengelilingi Baitullah adalah antara rukun umrah dan perlu disempurnakan sebanyak tujuh pusingan dan dalam keadaan berwuduk.


tawaf, Kaabah, Hajar Aswad, umrah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain