Mangsa Tembak Di Hatyai Selamat Dikebumikan - Semasa | mStar

Mangsa Tembak Di Hatyai Selamat Dikebumikan

BALIK PULAU: Jenazah rakyat Malaysia yang meninggal dunia di Hatyai, Thailand Isnin lepas selamat dikebumikan di tanah perkuburan masjid Sungai Pinang, di sini 1.45 pagi Rabu.

Mohd Nizam Ahmad Basrah, 28 dilaporkan ditembak mati di Jalan Phadungpakdee, Hatyai.

Bapa Nizam, Ahmad Basrah Awang, 49 dan keluarganya telah pergi ke Hatyai petang semalam untuk mengambil jenazah dari hospital di sana.

"Saya amat berterima kasih dengan Kerajaan Thailand dan pihak berkuasa di sana yang telah memberikan kerjasama sepenuhnya untuk membawa balik jenazah anak saya," katanya sambil menahan sebak.

Dia juga mengucapkan terima kasih kepada mereka yang menghulurkan bantuan kepadanya dalam menghadapi keadaan itu. 

Kali terakhir Ahmad Basrah melihat anaknya ialah pada bulan lepas semasa arwah pulang untuk melawat neneknya.

"Saya rapat dengannya tetapi kini saya perlu menerima segala apa yang berlaku dengan hati yang terbuka, katanya.

Nizam yang tinggal bersama neneknya sejak kecil selepas Ahmad Basrah menikah semula, mempunyai empat orang lagi adik-beradik.

Saadiah Abu, 80 yang telah membesarkan Nizam sejak berusia dua bulan selepas ibunya meninggal dunia, berkata dia kehilangan permata dalam hidupnya. 

"Tiada perkataan yang dapat menerangkan betapa sunyinya saya rasa sekarang kerana hanya kami berdua sejak dahulu. Kini dia telah tiada, saya terasa kehilangannya," katanya dalam linangan air mata.

Nizam memberitahu neneknya bahawa dia telah bekerja dengan seorang rakyat Malaysia berpangkat Datuk di Singapura awal tahun ini tetapi tiada dalam kalangan keluarganya yang menyedari pemergiannya ke Hatyai atas sebab tertentu.

Anggota Dewan Undangan Negeri Teluk Bahang Datuk Shah Headan Ayoob Hussain Shah yang melawat kediaman arwah mengucapkan terima kasih kepada penduduk kampung dan Konsulat Malaysia di Thailand yang membantu mempercepatkan proses membawa pulang jenazah.

Polis Hatyai menemukan mayat Nizam yang ditembak mati semasa menunggang motosikal ke hotel penginapannya dan polis kini sedang mengenal pasti pemilik motosikal dan meneliti rakaman kamera litar tertutup diperoleh daripada premis berdekatan untuk mengenal pasti pembunuh.-- Bernama

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

TVET ada potensi besar untuk kerjaya masa depan, ini lepasan SPM perlu tahu untuk jadi graduan ‘terhangat di pasaran’

HEBAT calon-calon SPM tahun 2019 apabila pencapaian mereka lebih baik berbanding tahun sebelumnya.

default image

Covid-19: Seminar Dr Azizan diteruskan secara online, tapi auranya ‘fuhhh’ macam buat dalam dewan besar - “Kami tak nak tangguh kejayaan anda”

PENULARAN wabak Covid-19 semakin meruncing berikutan peningkatan mendadak jumlah kes jangkitan virus itu di Malaysia.

Artikel Lain