suria

Laporan Audit 1MDB Diklasifikasi Bawah OSA Elak Maklumat Bocor

KUALA LUMPUR: Laporan audit berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA) bagi memastikan maklumat didedahkan semasa Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) tidak bocor.

Dalam jawapan bertulis di Parlimen, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said menjelaskan bahawa laporan audit berkaitan 1MDB adalah khusus untuk rujukan PAC.

Ketika ditanya mengapa Ahli Parlimen tidak diberikan laporan audit itu, Azalina berkata hanya PAC mempunyai akses kepadanya.

"Seperti diberitahu, laporan audit berkaitan 1MDB hanya dibentangkan kepada PAC berikutan persetujuan sebulat suara oleh Kabinet pada 4 Mac.

"PAC kemudiannya menggunakan laporan audit sebagai rujukan untuk menyediakan laporannya mengenai pengurusan syarikat tersebut dan laporan ini kemudiannya dibentangkan di Parlimen," katanya.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Raub Datuk Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz bertanya kepada Datuk Seri Najib Tun Razak mengapa laporan audit diklasifikasikan di bawah OSA dan tidak boleh diakses oleh Ahli Parlimen.

Laporan PAC berkaitan 1MDB yang dibentangkan di Parlimen pada 7 April lalu mendapati perdana menteri tidak melakukan apa-apa kesalahan.



PAC, 1MDB, laporan audit, Ahli Parlimen

Artikel Lain