suria

Prestasi Pengurusan Kewangan Agensi Tahun 2015 Lebih Baik

Ambrin Buang.

KUALA LUMPUR: Prestasi pengurusan kewangan agensi bagi tahun 2015 adalah lebih baik dengan 180 kementerian, jabatan dan agensi mendapat penarafan cemerlang lima bintang berbanding 114 pada 2014.

Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang berkata pencapaian yang ketara ini menunjukkan pelaksanaan Indeks Akauntabiliti telah memberi dorongan kepada pegawai pengawal untuk mengambil tindakan penambahbaikan terhadap pengurusan kewangan.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan berhubung tiga laporan Ketua Audit Negara yang dibentangkan di Parlimen pada Rabu setelah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Laporan-laporan itu ialah Mengenai Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan Tahun 2015; Pengurusan Kewangan Tahun 2015 Bagi Kerajaan Persekutuan, Badan Berkanun Persekutuan dan Kerajaan-Kerajaan Negeri; dan Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2015 Siri 1 Mengenai Aktiviti Bagi Kerajaan Persekutuan, Badan Berkanun Persekutuan dan Kerajaan-Kerajaan Negeri.

Ambrin berkata bagi Siri 1, sebanyak 70 pengauditan prestasi dan 18 pengauditan pengurusan syarikat kerajaan telah dilaksanakan di peringkat Persekutuan dan negeri.

Pengauditan yang dilaksanakan merangkumi bidang program, pembinaan, penyenggaraan, perolehan, pengurusan, hasil dan pengurusan syarikat, katanya.

Menyentuh mengenai prestasi kutipan hasil Kerajaan Persekutuan, secara keseluruhannya pada 2015, ia berkurangan sebanyak RM1.537 bilion (0.7 peratus) berbanding tahun 2014.

Kutipan cukai pendapatan individu pula menunjukkan peningkatan sejumlah RM1.899 bilion dan kutipan Cukai Barang Dan Perkhidmatan (GST) mencapai sasaran yang ditetapkan iaitu RM27 bilion.

Bagaimanapun, pengurangan hasil cukai pendapatan petroleum, cukai pendapatan syarikat dan royalti petroleum, masing-masing sebanyak RM15.397 bilion, RM1.560 bilion dan RM1.389 bilion telah menyumbang kepada pengurangan hasil Kerajaan Persekutuan pada 2015.

Menurut Ambrin, kandungan dan sinopsis ketiga-tiga laporan ini boleh  dilayari di Laman Web Jabatan Audit Negara di http://www.audit.gov.my mulai hari ini dan sebarang pertanyaan lanjut boleh dialamatkan kepada Warkah Untuk Ketua Audit Negara.

Selain itu, satu sesi townhall bersama media mengenai laporan itu akan  diadakan pada 24 Mei di Putrajaya yang akan dihadiri oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Ketua-Ketua Setiausaha Kementerian. - BERNAMA

prestasi kewangan, Ambrin Buang

Artikel Lain