suria

Rakyat Malaysia Kekal Sebagai Penyimpan Tertinggi Di Dunia

- Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Keinginan untuk menyimpan di kalangan para pengguna Malaysia berada pada 67 peratus, merupakan antara yang tertinggi di dunia, menurut kajian Keyakinan Pengguna dan Keinginan Untuk Berbelanja Global oleh Nielsen.

Nielsen dalam satu kenyataan pada Selasa, berkata keinginan untuk menyimpan dikalangan pengguna Malaysia dan Asia Tenggara terus menjadi perkara yang utama, berdasarkan kajian yang dibuat bagi suku pertama 2016.

"Pengguna di rantau ini merupakan penyimpan yang setia di dunia dengan enam negara berada dalam 10 kedudukan tertinggi global untuk simpanan," tambahnya.

Kajian itu melibatkan 30,000 responden dengan akses Internet di 63 buah negara.

"Kira-kira satu pertiga daripada rakyat Malaysia memberi fokus ke atas membangunkan jaminan kewangan mereka dengan menyalurkan lebihan tunai dalam pelaburan, dana bersama/stok (32 peratus) dan dana persaraan (27 peratus), manakala dua dalam lima responden mengaku menggunakan baki wang bagi menjelaskan hutang, hutang kad debit atau pinjaman (41 peratus)," katanya.

Walaupun niat untuk menyimpan adalah tinggi, kajian itu mendapati pengguna Malaysia juga bersedia untuk memanjakan diri dalam perbelanjaan besar seperti percutian atau pelancongan (4 peratus kepada 40 peratus), membeli produk teknologi baharu (7 peratus ke 19 peratus), hiburan di luar rumah (sehingga 5 peratus kepada 18 peratus) dan renovasi rumah atau hiasan (sehingga 2 peratus kepada 18 peratus).

Catatan tersebut tidak banyak berubah berbanding dalam kajian yang dibuat pada suku pertama, tahun sebelum ini.

Kajian itu juga mendedahkan bahawa pengguna di Malaysia terus mengurangkan  perbelanjaan isi rumah, walaupun ketika keadaan ekonomi menunjukkan pemulihan, dengan hampir sembilan dalam 10 rakyat Malaysia telah mengubah tabiat perbelanjaan mereka sejak beberapa tahun lepas bagi meningkatkan simpanan (88 peratus).

Tiga bidang utama yang menjadi fokus penjimatan pengguna-pengguna Malaysia walaupun wujud jangkaan pemulihan ekonomi ialah pakaian baharu (65 peratus), hiburan di luar rumah (56 peratus) dan beralih kepada jenama runcit yang lebih murah (51 peratus).

Di rantau ini, Vietnam mengekalkan tempat pertama dalam keinginan untuk menyimpan iaitu pada 78 peratus, diikuti dengan Indonesia (75 peratus), Filipina (69 peratus), Singapura dan Malaysia berkongsi kedudukan yang sama (67 peratus),  manakala Thailand (66 peratus) berada di tangga keenam.

Secara purata, hanya separuh daripada pengguna global mengutamakan penjimatan baki tunai (51 peratus).

Sementara itu, Nielsen berkata indeks keyakinan pengguna di Malaysia kekal stabil, turun satu mata kepada 79 mata peratusan (pp) suku pertama 2016.

Malaysia diiktiraf sebagai negara paling yakin seluruh dunia pada kedudukan yang ke-36.

kajian Nielsen, rakyat Malaysia

Artikel Lain