suria

Surat Anwar: Wan Azizah Ingatkan Pemimpin Pembangkang 'Berwaspada'

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
KUALA LUMPUR: Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengingatkan pemimpin parti pembangkang supaya berwaspada dengan agenda Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Berwasapadalah, itu sahaja," katanya ringkas kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, Selasa.

Beliau mengulas isi kandungan surat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meminta pimpinan parti berwaspada terhadap agenda yang dibawa bekas perdana menteri berkenaan dalam deklarasinya.

Wan Azizah bagaimanapun menyifatkan surat suaminya itu sebagai isu dalaman parti.

"That is an internal matter," (Itu hal dalaman) katanya.

Ketua Whip Parlimen PKR Datuk Johari Abdul pula berkata pendirian PKR adalah jelas bahawa parti itu tidak menyokong Deklarasi Mahathir.

"Tetapi terpulang kepada mana-mana individu sama ada untuk menyokong Deklarasi yang diterajui Dr Mahathir atau tidak.

"Dia (Anwar) kata kalau deklarasi ini membawa agenda reformasi ok, tetapi kalau tak ada (agenda reformasi) kena tambah supaya agenda reformasi sebenar tidak dibelakangkan," katanya.

Pada Isnin sebuah portal media melaporkan Anwar menulis sepucuk surat kepada pimpinan PKR yang mendakwa Deklarasi yang diterajui Dr Mahathir sebagai tidak sempurna dan lari dari agenda reformasi sebenar.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain