suria

Hari Belia Negara 2016 Meriah, Sarat Pengunjung Dan Aktiviti

Ribuan belia melibatkan pelbagai pertubuhan di seluruh negara hadir bagi memeriahkan sambutan Hari Belia Negara 2016, Ahad.

SERDANG: Cuaca yang tidak menentu bukan penghalang bagi orang ramai khususnya belia untuk memeriahkan sambutan Hari Belia Negara 2016 yang diadakan di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini, Ahad.

Seawal pukul 10 pagi, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, UPM sudah menerima kunjungan belia termasuklah pelajar-pelajar UPM sendiri yang tidak mahu melepaskan peluang menyertai acara yang pertama kali diadakan di universiti itu.

Pelbagai aktiviti dianjurkan seperti aktiviti jualan, bengkel seni dan interaktif serta persembahan pentas melibatkan artis popular tanahair seperti Estranged, Najwa Latif, Monoloque dan OAG.

Persembahan artis tempatan menyerikan lagi majlis pelancaran Hari Belia Negara 2016, Ahad.

Ketibaan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin sebelum pelancaran majlis yang diadakan pada sebelah petang nyata memeriahkan suasana.

Walaupun cuaca mendung diikuti hujan pada sebelah petang iaitu ketika kemuncak acara, pengunjung dilihat tidak berganjak dari lokasi ini.

Seperti biasa, Khairy, menteri yang terkenal dengan sifatnya yang mudah didekati tidak melepaskan peluang untuk 'berselfie' dengan pengunjung.

Ahmad Zahid, dalam ucapan perasmiannya telah memuji penganjuran Hari Belia dan meminta golongan belia di negara ini, tanpa mengenal agama, bangsa dan pegangan politik supaya menyokong aktiviti-aktiviti yang dianjurkan kerajaan khususnya Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (tengah) melancarkan Buku Tokoh Belia Milennia ketika sambutan Hari Belia Negara 2016 di Dewan Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia Serdang, Ahad. Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin (kanan), Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk M. Saravanandan (kiri) dan Presiden Majlis Belia Malaysia Muam'mar Ghadafi Jamal Jamaluddin (dua, kanan)

"Saya beri sokongan kuat kepada konsep ini. Tapi kita harap supaya ia disambut dengan tindakan. Bukan hanya semangat dan laungan.

"Kita kena memperlihatkan komitmen dengan menterjemahkan laungan ini dalam bentuk kerja. Ketepikan perbezaan politik, agama, bangsa, bahasa dan budaya. 

"Kita mahu belia Malaysia sebagai sebuah entiti kesatuan perpaduan di kalangan kita. Belia hanya satu sahaja di negara ini iaitu belia Malaysia biarpun kita ada banyak pertubuhan," katanya.

Seterusnya beliau menyampaikan Anugerah Perdana Belia Negara yang diberikan kepada belia yang menunjukkan potensi diri cemerlang dan menyumbang kepada masyarakat  serta pembangunan negara.

Tahun ini, anugerah utama, iaitu Anugerah Khas Hari Belia 2016 telah diberikan kepada Hafizah Noor Isa, 29.

Hafizah yang berasal dari Machang, Kelantan merupakan pelajar tahun ketiga Ijazah Doktor Falsafah dari University of Glasgow, Scotland.

Beliau telah mengharumkan nama negara dan menarik perhatian dunia apabila berjaya membuktikan teori gelombang graviti yang diramal kewujudannya oleh Albert Einstein pada 1915.

Hafizah menerima Anugerah Perdana Belia Negara 2016 daripada Ahmad Zahid sambil disaksikan Khairy pada sambutan Hari Belia Negara, Ahad

Hafizah ketika ditemui selepas menerima anugerah itu berkata, beliau berharap penghargaan yang diberikan kepadanya itu dapat memberikan semangat dan inspirasi kepada golongan belia khususnya wanita untuk lebih mendalami bidang sains.

"Saya juga berharap penganjuran Hari Belia ini dapat memberi semangat kepada belia untuk mereka melibatkan diri dalam peluang yang dibuka oleh kementerian," kata anak bongsu daripada tujuh adik-beradik ini.

Bertemakan 'The Future is Now', Hari Belia Negara dianjurkan bagi mengiktiraf penglibatan golongan mahasiswa dalam menggerak dan memartabatkan pembangunan belia di negara kita di samping rakan kongsi utama KBS iaitu Majlis Belia Malaysia (MBM).

Food Truck mendapat sambutan pengunjung pada sambutan Hari Belia Negara yang pertama kali diadakan di UPM, Serdang.

Penganjur menganggarkan acara ini telah mendapat sambutan kira-kira 10,000 pengunjung.

Penglibatan golongan mahasiswa menjadi fokus utama bagi menarik penyertaan mereka dalam pertubuhan belia selari dengan Dasar Belia Malaysia yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada sambutan Hari Belia Negara 2015. 


Artikel Lain