suria

PRK Kuala Kangsar: Hormati Tempoh Bertenang, Jangan Ghairah Lobi Jadi Calon

PETALING JAYA: Semua pihak terutama yang terlalu ghairah 'melobi' untuk menjadi calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar diminta supaya menghormati 'tempoh bertenang' sehingga menyuarat khas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diadakan pada Jumaat.

Pemangku Ketua Umno Bahagian Kuala Kangsar, Mohd Kamil Shafie berkata, pihaknya bukan sahaja menggerakkan jentera parti bagi menghadapi pilihan raya itu tetapi turut berusaha menangani spekulasi negatif berkaitan calon.

Beliau menambah, penghormatan turut perlu diberikan terhadap pemergian Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad yang maut dalam nahas helikopter di Sarawak, minggu lalu.

"Belum pun genap seminggu (pemergian), dah ada desas-desus yang hendak jadi calon, ada yang hendak melobi, sampai berebut.

"Tunggulah dulu. Biarlah tempoh berkabung, juga tempoh bertenang sehingga mesyuarat khas SPR diadakan pada Jumaat," katanya kepada mStar Online namun engggan mengulas lanjut mengenai pihak yang melobi menjadi calon.

Mohd Kamil adalah Timbalan Ketua Umno Bahagian Kuala Kangsar ketika Wan Mohammad Khair-il Anuar mengetuai bahagian itu sejak 2013.

Turut terkorban dalam nahas itu ialah Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon yang juga Ahli Parlimen Sungai Besar, Selangor.

SPR akan mengadakan mesyuarat khas pada Jumaat bagi membincangkan mengenai kedua-dua PRK itu.

Ditanya mengenai calon, Mohd Kamil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Manong berkata, keputusan diserahkan kepada pucuk pimpinan parti.

"Kami hanya menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan oleh kepimpinan bagi memastikan kejayaan Barisan Nasional (BN) di Kuala Kangsar.

"Walaupun dalam tempoh bertenang, tugas dan kerja parti perlu diteruskan. Begitu dengan pemilihan calon nanti, siapapun yang dipilih pucuk pimpinan, diharapkan ia dapat meneruskan legasi kepimpinan daripada penyandangnya sebelum ini," katanya.

Umno Kuala Kangsar, Umno

Artikel Lain