suria

Jamal Cabar Adun Sekinchan-DAP Tanding PRK Sungai Besar

SABAK BERNAM: Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Md Yunos mencabar Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sekinchan-DAP, Ng Suee Lim untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu.

Jamal berkata, beliau akan mengusulkan namanya sebagai calon kepada pucuk pimpinan parti sekiranya wakil rakyat DAP itu bertanding.

"Beliau (Suee Lim) adalah calon 'favourite'. Jadi, biarlah pertandingan ini antara 'musuh ketat'... siapa yang lebih diterima oleh masyarakat di sini kerana beliau mengatakan beliau hebat.

"Oleh itu, saya cabar YB Ng Suee Lim bertanding atas tiket DAP Parlimen Sungai Besar," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Wanita Umno Bahagian di sini, Khamis.

Turut hadir Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa, Ketua Wanita, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan pemangku Ketua Wanita Umno Bahagian Sungai Besar, Zubidah Maskor.

Jamal yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) menegaskan bahawa cadangan mengenai beliau bertanding pada PRK Sungai Besar hanyalah sekiranya Suee Lim turut bertanding.

"Jika YB Ng Suee Lim tidak bertanding, maka saya pun tidak akan bertanding," katanya.

Jamal sebelum ini dilaporkan tidak bercadang untuk bertanding pada PRK Sungai Besar kerana mahu menjaga parti dan membuka peluang itu kepada muka-muka baharu dan pemimpin-pemimpin yang berpengalaman.

Malah beliau sedia menolak secara baik sekiranya ditawarkan oleh pucuk pimpinan parti untuk menjadi calon.

PRK Parlimen Sungai Besar bakal diadakan berikutan penyandangnya, Datuk Noriah Kasnon yang juga Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi maut bersama lima yang lain dalam nahas helikopter di Sarawak, minggu lalu.

Majlis tahlil buat Allahyarham Noriah turut diadakan selepas mesyuarat itu pada Khamis.

Umno, DAP, Sungai Besar

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain