suria

10 Rakyat Tempatan Antara 22 Ditahan Rancang Jatuhkan Kerajaan

KOTA KINABALU: Seramai 22 lelaki termasuk 10 rakyat tempatan ditahan di Sabah kerana disyaki terlibat dengan rancangan menjatuhkan kerajaan dan juga kemungkinan ada kaitan dengan 'Royal Sulu Force'.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Abd Rashid Harun (gambar) berkata 20 orang termasuk 10 rakyat tempatan itu ditahan di sekitar Tanjung Labian, Sungai Bilis dan Tanjung Batu di Lahad Datu pada 7 Mei lepas manakala dua hari kemudian dua lagi ditahan di Ranau.

"Kita tahan mereka di rumah masing-masing melalui operasi terancang berdasarkan maklumat yang kami terima.

"Operasi Gasak 3 yang diketuai saya sendiri bermula pada Jumaat lepas melibatkan polis dan semua agensi penguatkuasaan termasuk Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom)," katanya ketika ditemui pemberita pada Program Hidup Sihat Polis Diraja Malaysia Sabah di sini, Khamis.

Abd Rashid berkata kesemua mereka ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri SAC Datuk Salehhudin Abdul Rahman berkata kesemua tahanan itu berumur antara 22 dan 75 tahun.

Menurutnya, selain 10 rakyat tempatan itu, dua individu mempunyai sijil lahir yang mengatakan mereka dilahirkan di Sabah, seorang lagi mempunyai pas lawatan dari Filipina, manakala bakinya tiada dokumen pengenalan diri.

"Mereka disiasat mengikut Seksyen 130J Kanun Keseksaan (KK) kerana disyaki terlibat dengan persiapan menjatuhkan kerajaan dan juga mungkin ada kaitan dengan 'Royal Sulu Force'.

"Seksyen ini membawa hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan," katanya.

Sabah, Polis

Artikel Lain