suria

Seorang Penagih Dadah Ditahan, Tiga Laras Pump Gun Dirampas

SEREMBAN: Polis menahan seorang penagih dadah dan merampas tiga 'pump gun' dalam serbuan Ops Tapis/Ops Cantas Khas di sebuah rumah di Felda Lui Timur, Sungai Lui, Bandar Seri Jempol dekat sini, pagi Isnin.

Ketua Polis Daerah Jempol Superitendan Noorzainy Mohd Noor berkata, dalam serbuan yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol itu polis turut merampas dadah dan pelbagai jenis peluru.

"Dalam serbuan itu, suspek berusia 31 tahun ditahan di luar rumahnya dan hasil serbuan polis merampas 22 butir peluru pelbagai jenis, tiga laras 'pump gun', dua paket heroin seberat 12.5 gram, satu paket syabu seberat 0.8 gram dan satu paket tiub syabu.

'Pump gun' yang dirampas itu dijumpai di dalam satu guni yang terletak di atas lantai berdekatan dengan suspek di bahagian beranda rumah," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Selasa. 

Noorzainy berkata hasil ujian saringan air kencing ke atas suspek mendapati suspek positif dadah jenis opiat dan suspek mempunyai empat rekod jenayah lampau bersabit dadah dan satu kes di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api. 

Katanya suspek direman selama tujuh hari bagi siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960. --Bernama

Artikel Lain