suria

Suasana Pilu Sambut Jenazah Ahli Parlimen Kuala Kangsar

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berangkat memberi penghormatan terakhir kepada Ahli Parlimen Kuala Kangsar Datuk Wan Khair-il Anuar Wan Ahmad yang tiba di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah dengan pesawat hercules C130 pada pukul 6,45 pagi Ahad. Turut hadir Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr.Zambry Abdul Kadir dan isteri.

IPOH: Suasana pilu menyelubungi sekitar Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di sini pagi ini (Ahad) sebaik pesawat Hercules C130 yang membawa jenazah Anggota Parlimen Kuala Kangsar Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad, tiba.

Pesawat yang dipandu Kapten Mohd Amin Ibrahim tiba di LTSAS kira-kira 6.45 pagi selepas berlepas dari Pangkalan Udara Kuching pukul 4 pagi tadi.

Turut berada di pesawat berkenaan adalah isteri Wan Mohammad Khair-il Anuar, Mastura Yazid serta empat anak pasangan tersebut iaitu Wan Emir Astar, Wan Muhammad Amar, Wan Imar Izzat dan Wan Emir Iskandar.

Kira-kira 200 orang terdiri daripada saudara mara, Exco Kerajaan Negeri, pegawai kanan kerajaan negeri serta kenalan berada di LTSAS bagi menyambut jenazah Wan Mohammad Khair-il Anuar.

Turut berkenaan berangkat menyambut ketibaan jenazah adalah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim. Hadir sama Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Sebaik pintu pesawat dibuka, Sultan Nazrin dan Tuanku Zara berkenaan menaiki pesawat bertemu anggota keluarga Allahyarham serta mengaminkan doa yang dipimpin Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria.

Terdapat kalangan yang hadir tidak dapat menahan tangisan apabila jenazah Wan Mohammad Khair-il Anuar diusung keluar dari pesawat dan melihat Mastura berpelukan dengan anak-anaknya.

Jenazah kemudian dibawa ke Masjid Ubudiah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar dengan menaiki van jenazah Tentera Udara Diraja Malaysia sebelum dikebumikan di Makam Diraja Kuala Kangsar, Bukit Chandan.

Wan Mohammad Khair-il Anuar merupakan antara enam yang terlibat dalam nahas helikopter di kawasan Sebuyau, Sarawak petang Khamis lalu.

Artikel Lain