suria

Jika Kejayaan Diukur Dari Segi Kewangan, Sarawak Telah Buktikan - Salleh

Dr Salleh Said Keruak (kiri) bersama calon Barisan Nasional N73 Piasau Datuk Sebastian Ting Chiew Yew beramah mesra dengan peniaga Pasar Miri ketika melakukan kempen di sekitar pasar itu pada Isnin, menjelang Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 pada 7 Mei ini. Foto: Bernama

KUALA LUMPUR: Jika kejayaan diukur dari segi kewangan, dengan itu Sarawak telah membuktikannya walaupun negeri itu tidak bermegah-megah mengenainya sepertimana negeri diterajui pembangkang, Pulau Pinang dan Selangor.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkataapa yang jarang diperkatakan ialah Sarawak mempunyai simpanan sebanyak  RM27bilion dan apabila Tan Sri Adenan Satem mengambil alih sebagai Ketua Menteri pada 2014, beliau telah mengumumkan bajet lebihan.

Dalam catatan di blognya 'sskeruak.blogspot.my' pada Isnin dan memetik beberapa laporan berita, Salleh membuat perbandingan antara Sarawak, Pulau Pinang dan Selangor dari segi bajet negeri.

Beliau mengambil perhatian bahawa pada November 2015, kerajaan negeri Pulau Pinang pimpinan DAP mengumumkan bajet defisit buat tahun kelima berturut-turut dan Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata defisit itu, bagaimanapun, akan diatasi oleh simpanan terkumpul negeri berjumlah RM880 juta.

"Kerajaan negeri Selangor pimpinan PKR pula mengumumkan simpanan kira-kira RM3.5 bilion dan ini menurut mereka, adalah bukti yang mereka merupakan kerajaan berkebolehan kerana angka terbaru itu mencatatkan sedikit peningkatan daripada angka pra-2008 sebelum  mereka mengambil alih negeri itu," kata Salleh.

Beliau berkata, Selangor bagaimanapun pada November tahun lepas telah mengumumkan defisit terbesar dalam sejarah negeri itu, hampir RM600 juta.

Salleh berkata pendapatan utama bagi Pulau Pinang dan Selangor dijana daripada penjualan tanah, premium tanah dan cukai hartanah.

Mengenai perbelanjaan, beliau berkata hanya kira-kira 25 peratus daripada perbelanjaan Sarawak adalah untuk kos mengurus manakala sebahagian besarnya untuk pembangunan.

Sebagai perbandingan, Selangor membelanjakan lebih 50 peratus daripada perbelanjaannya untuk kos mengurus manakala Pulau Pinang membelanjakan 75 peratus, katanya. -Bernama

Artikel Lain