suria

Kematian Pasamanickam Kehilangan Besar Buat MIC

MUAR: Kematian bekas Naib Presiden MIC Tan Sri G.Pasamanickam kerana sakit tua di kediamannya di sini tengah Ahad, disifatkan sebagai kehilangan besar kepada parti itu dan masyarakat India di negara ini. 

Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata mendiang Pasamanickam banyak menyumbang jasa sepanjang hidupnya dengan menyandang pelbagai jawatan dalam parti termasuk Naib Presiden dan juga Senator di Dewan Negara.

"Di peringkat negeri, mendiang pernah menjadi Ketua Perhubungan MIC dan juga Exco kerajaan negeri. Jadi, pemergiannya merupakan kehilangan besar walaupun umur beliau telah hampir mencecah 95 tahun.

"Mendiang banyak memberi sumbangan terhadap pembangunan masyarakat India khususnya di Johor," katanya yang ditemui pemberita ketika memberi penghormatan terakhir kepada jasad Pasamanickam di kediaman mendiang di Jalan Ibrahim, di sini, Isnin.

Subramaniam yang juga Menteri Kesihatan berkata banyak tanah diberi untuk sekolah dan projek perumahan bagi mereka yang berpendapatan rendah semasa mendiang menjawat Exco kerajaan negeri.

Menurut Subramaniam, beliau juga mempunyai hubungan peribadi yang rapat dengan mendiang Pasamanickam dan keluarga, malah boleh dikatakan sebagai keluarga kerana mendiang juga merupakan rakan baik bapanya.

Pengerusi MIC Johor Datuk M. Asojan berkata mendiang yang pernah menjadiAnggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Anam dari 1969 hingga 1974, merupakan pemimpin yang aktif serta banyak membantu masyarakat India terutamanya merekayang berpendapatan rendah. 

Beliau berkata sumbangan yang diberikannya tidak ternilai kerana mendiangadalah antara individu awal yang menyertai MIC dan banyak bersusah payah memperkukuhkan parti itu pada awal penubuhannya.

Katanya, antara sumbangan besar mendiang adalah membina kuil, memberi gerantanah kepada penduduk berpendapatan rendah membina rumah sendiri, pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dan lain-lain.

"Warga MIC Johor mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang dan berita inijuga telah dimaklumkan kepada Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang kemudian mewakilkan saya menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mendiang," katanya. 

Pasamanickam yang juga bekas Senator itu pernah berkhidmat di bawah kepimpinan pemimpin MIC tersohor Tun V.T. Sambanthan dan Tan Sri V.Manickavasagam serta menjawat pelbagai jawatan dalam parti termasuk Bendahari MIC dari 1994 hingga 2000 dan Pengerusi MIC Johor dari 1968 hingga 1995.

Mendiang meninggalkan seorang isteri, Puan Sri Sarasa Pasamanickam, anak lelaki, P. Kannan dan anak perempuan P. Sunthari. -Bernama

Tan Sri G. Pasamanickam, MIC

Artikel Lain