suria

131,813 Warga ATM Nikmati Kenaikan Gaji Julai Ini

Hishammuddin bersama keluarga angkatan tentera, Laskar Udara Kanan Abdul Amir Abdul Aziz (kanan) pada majlis penyerahan kunci rumah keluarga angkatan Desa Tun Hussein Onn pada Ahad. -fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Seramai 131,813 kakitangan awam Kementerian Pertahanan termasuk warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menikmati kenaikan satu tangga gaji bermula 1 Julai ini.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata kenaikan itu dilaksanakan mengikut Skim Perkhidmatan Awam Persekutuan di bawah Sistem Saraan Malaysia.

"Agenda penambahbaikan ini juga melibatkan aspek kebajikan anak-anak anggota dengan menyediakan perkhidmatan bas sekolah termasuk perumahan yang selesa," katanya kepada pemberita selepas melawat Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) Desa Tun Hussein Onn, di sini Ahad.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata bagi anggota Lain-Lain Pangkat ATM, Perajurit Muda yang tamat latihan asas akan menikmati gaji permulaan Prebet sebanyak RM1,564 sebulan berbanding RM1,137 yang diterima sebelum ini.

Katanya bagi Pegawai Kadet berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia atau Sijil Vokasional Malaysia akan menerima RM1,500 sebulan berbanding RM1,104.

"Pegawai berpangkat Leftenan Muda yang berkelulusan ijazah Sarjana Muda pelbagai jurusan dan ijazah Sarjana Muda Undang-Undang memperolehi gaji sebanyak RM2,585 dan RM2,730.61 berbanding RM2,411.85.

"Pemegang ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan akan menerima gaji sebanyak RM2,876.67 berbanding RM2,703.37 manakala pemegang ijazah Sarjana Muda Perubatan Veterinar akan menerima RM3,022.13 berbanding RM2,593.94," katanya.

Terdahulu Hishammuddin menyerahkan kunci RKAT Desa Tun Hussein Onn kepada 160 warga ATM berkeluarga yang berpangkat korperal dan ke bawah.

Projek RKAT bernilai RM11.2 juta melibatkan dua blok kediaman itu siap dibina pada 28 Mac lepas. - BERNAMA

kenaikan gaji, ATM

Artikel Sebelum

"Wow"...Mi Udang Gumpey

Artikel Lain