suria

Lelaki Dikhuatiri Lemas Terjatuh Ke Laut Dari Feri Di P.Pinang

Gambar hiasan.

GEORGE TOWN: Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam laut dari tingkat atas sebuah feri yang hendak berlepas dari terminal Feri Raja Tun Uda di sini, Ahad.

Sumber memberitahu Bernama, dua pekerja sebuah syarikat kawalan keselamatan yang berada di bahagian tepi feri di tingkat bawah ternampak lelaki terjatuh ke laut pada kira-kira 11.25 pagi.

Mereka kemudian memberitahu kejadian itu kepada kru feri yang memaklumkan kepada kapten feri yang kemudian mematikan enjin feri untuk membuat pemeriksaan, katanya di sini, Ahad.

Katanya, kru feri itu kemudian menemukan sepasang selipar dipercayai milik lelaki itu yang dikatakan berusia 60-an di tingkat atas feri. 

Sehingga pukul 5 petang ini, operasi mencari dan menyelamat mangsa oleh anggota Bomba dan Penyelamat dan Pasukan Gerakan Marin masih dijalankan, katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Mior Faridalatrash Wahid ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan menurutnya setakat ini identiti mangsa masih belum dikenal pasti. - Bernama

Artikel Lain