suria

Pemandu Lori Didakwa Bunuh Isteri, Bayi Tujuh Bulan

KUALA LUMPUR: Seorang pemandu lori didakwa di Mahkamah Majistret Selayang di sini pada Selasa atas dua pertuduhan membunuh isteri dan bayi perempuannya yang dijumpai terbaring di dalam bilik tidur rumah mereka, dua minggu lepas.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang hanya mengangguk selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Iriane Isabelo.

Satvender Singh Pirthpar Singh, 30, didakwa membunuh isterinya, D. Kamaljit, 34, dan bayinya, Ishlyn Kaur Sandhu berusia tujuh bulan di sebuah rumah No.31, Jalan RP 10/9, Taman Rawang Perdana 2, Rawang, di sini masing-masing pada jam 3.55 pagi dan 4.15 pagi, 14 April lepas.

Di mahkamah sama, seorang juruteknik, X. Kumaresen, 36, didakwa membunuh teman wanitanya, K. Uma Dewi, 34, seorang eksekutif, di KM19 Jalan Gombak, Gombak, antara 4 pagi hingga 7 pagi, 6 April lepas.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Mahkamah menetapkan 30 Mei untuk laporan kimia dan bedah siasat bagi kedua-dua kes.

Terdahulu, peguam Y. Sheelan yang mewakili Satvender Singh dan peguam Mohd Haijan Omar yang mewakili Kumaresen memohon mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan dan membuat laporan polis kerana mendakwa telah dicederakan semasa dalam tahanan polis.

Majistret Iriane bagaimanapun berkata beliau perlu merujuk perkara itu kepada pihak penjara untuk menentukan prosedur berkaitan sebelum membuat keputusan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya K. Vasugi dan Khairul Azhwa Yusrie Mohd.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan. - BERNAMA

pemandu lori, bunuh, isteri

Artikel Lain