suria

Pertembungan Sesama Parti Pembangkang Bukti Tiada Kesepakatan - PM

Najib menjulang tangan Adenan dihadapan penyokong BN selepas proses penamaan calon di luar perkarangan di Dewan Masyarakat Lundu pada Isnin. - fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Pertembungan sesama parti pembangkang bagi kawasan tertentu pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 (PRN-11) memberi gambaran jelas bahawa mereka tidak bersepakat dalam soal itu, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata untuk bertanding bagi pilihan raya itu pun pembangkang tidak dapat mencapai kata sepakat, apatah lagi untuk memimpin negeri dan negara.

"Ini belum lagi mengambil kira untuk membentuk kabinet, atau memutuskan siapa layak memimpin jawatan apa. Kucar-kacir negeri Sarawak nanti!," katanya menerusi catatan terbaharu bertajuk 'Bersatu Untuk Kemajuan' dalam blog beliau, www.najibrazak.com pada Selasa.

Selain itu, beliau berkata terdapat dalam kalangan mereka berterusan menabur fitnah jahat dan menyerang keperibadian seseorang semata-mata kerana parti yang diwakili.

Katanya, politik berteraskan fitnah dan mengadu domba seumpama itu memang telah sebati dengan mereka, dan langsung tidak mempunyai tempat di dalam mana-mana pilihan raya.

"Saya yakin rakyat Sarawak dapat melihat dengan jelas sandiwara dan topeng kepura-puraan yang dipakai oleh pembangkang ini, dan membuat keputusan sewajarnya apabila membuang undi.

"Usahlah terpedaya, kita kekalkan kemajuan dan kesejahteraan Bumi Kenyalang, terus sejahtera dan membangun pesat bersama gelombang biru Barisan Nasional!," katanya.

Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) pada Isnin hadir dan memberi sokongan kepada Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem, calon BN kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Datu, sempena penamaan calon PRN-11.

Menurutnya, beliau bersama Adenan menunaikan solat hajat dan menyertai rombongan ke pusat penamaan calon untuk PRN dan kesemua calon BN yang dinamakan tiba bersatu sebagai sebuah pasukan, Team Barisan Nasional, Team Adenan. - BERNAMA


Artikel Lain