suria

PRN Sarawak: Adenan Ulang Gesaan Fokus Isu-Isu Negeri

Tan Sri Adenan Satem
KUCHING: Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem terus menekankan bahawa isu-isu negeri perlu diberi fokus dalam kempen pilihan raya negeri (PRN) Sarawak.

Dalam video yang disiarkan dalam talian pada Khamis, Adenan, yang bercakap Bahasa Sarawak dan Melayu memberitahu pengundi bahawa pilihan raya 7 Mei 'adalah untuk menentukan siapa yang akan menjadi Ketua Menteri Sarawak, bukan Perdana Menteri Malaysia'.


"Sebab itu, apabila anda pergi mengundi, anda hanya akan diberikan satu kertas undi. Ia adalah untuk pilihan raya negeri," kata Adenan dalam klip berdurasi empat minit itu.

Adenan menggesa rakyat Sarawak keluar beramai-ramai untuk mengundi. Beliau berkata pengundi perlu menggunakan kebijaksanaan mereka untuk memilih kemungkinan wakil terbaik.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana sering melawat Sarawak dan memberikan peruntukan pembangunan.

Secara khususnya, Adenan berkata Lebuhraya Pan Borneo yang telah diluluskan di bawah Najib akan menerajui pembangunan di kawasan luar bandar di seluruh Sarawak.

"Ia adalah kerana hubungan baik kita dengan kerajaan Persekutuan di mana kita mendapat RM16 bilion untuk lebuh raya (di Sarawak). Ia akan menjadi seperti Lebuhraya Utara-Selatan. Sarawak adalah satu negeri yang besar. Kita perlukan infrastruktur ini. Itulah sebabnya saya berkawan baik dengan perdana menteri," kata Adenan.


Beliau kemudian beralih kepada fokus kempen yang biasa, termasuk pemansuhan tol, pengurangan tarif elektrik dan tambang feri.

"Tidak boleh dinafikan bahawa banyak pembangunan berlaku di Sarawak. Ini kerana kita mempunyai kerajaan yang stabil dan kuat. Beri saya lima tahun sebagai ketua menteri anda. Dua tahun bukanlah masa yang cukup untuk melakukan semua yang saya cadang untuk lakukan."

Adenan berjanji untuk menunaikan janjinya dengan berkata ia boleh dilihat berdasarkan trek rekodnya.

Bercakap di Miri awal minggu ini, Adenan mencabar pembangkang untuk mengetengahkan dirinya dalam isu-isu di Sarawak dan tidak mengheret perkara-perkara nasional.

"Saya cabar parti-parti pembangkang, terutamanya DAP. Jangan mengheret isu-isu nasional ke Sarawak. Lawan saya dan pasukan saya mengenai isu-isu tempatan. Isu-isu itu tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan Sarawak dan ia tidak seharusnya diheret ke dalam pilihan raya negeri," katanya.

PRN Sarawak, isu negeri, isu nasional

Artikel Lain