suria

Anggota PAC Boleh Utarakan Isu Berbangkit Dalam Mesyuarat Atau Dewan Rakyat

Datuk Hasan Arifin
KUALA LUMPUR: Setiap anggota Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) seharusnya memahami bahawa mereka boleh mengutarakan isu berbangkit melalui mesyuarat PAC akan datang atau dalam sidang Dewan Rakyat.

Pengerusi PAC Datuk Hasan Arifin berkata PAC adalah sebuah jawatankuasa di bawah Parlimen, maka sekiranya mana-mana anggota PAC yang tidak berpuas hati, mereka boleh merujuk isu berbangkit tersebut kepada Speaker Dewan Rakyat.

"Selaku Pengerusi PAC yang dilantik oleh Dewan Rakyat, saya bertanggungjawab kepada jawatankuasa ini, Parlimen dan rakyat secara sepenuhnya.

"Ia juga termasuk untuk bertanggungjawab dalam memastikan integriti PAC sentiasa terpelihara dan tidak berpaksikan kepada kepentingan politik, berkredibiliti dan tidak prejudis.

"Adalah menjadi tanggungjawab saya dalam menjaga dan mengekalkan integriti PAC serta tidak bersifat prejudis," katanya dalam kenyataan di sini, malam Rabu.

Pada Selasa, Anggota Parlimen DAP Tony Pua mendakwa beberapa ayat dalam laporan akhir 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah dikeluarkan, antaranya mengenai perbincangan antara pegawai Jabatan Audit Negara dan anggota PAC.

Ayat seterusnya yang dikeluarkan ialah mengenai perbincangan anggota PAC dan pegawai kerajaan yang terbabit dalam menyediakan laporan 1MDB tersebut, kata Anggota Parlimen Petaling Jaya Utara itu.

Pua yang juga anggota PAC berkata maklumat dalam kedua-dua ayat itu telah dipersetujui anggota PAC daripada BN dan pembangkang untuk dimasukkan dalam laporan 1MDB.

Mengulas lanjut, Hasan berkata apa jua maklumat diterima pada saat akhir bersifat sulit dan rahsia; serta maklumat berstatus risikan dan bukan untuk laporan awam, ia tidak perlu dimasukkan ke dalam laporan PAC.

Jika maklumat berkenaan dimasukkan sebagai sebahagian daripada kandungan laporan PAC, ia secara jelas boleh menjejaskan integriti, kewibawaan dan kredibiliti PAC itu sendiri sebagai jawatankuasa di bawah Parlimen, katanya.

Sehubungan itu, Hasan berkata ini adalah reaksi terakhirnya melalui media dan tanggungjawab keanggotaan PAC boleh dilaksanakan sepenuhnya melalui mesyuarat seterusnya dan bukannya melalui media sosial atau media massa.

"Saya bertanggungjawab sepenuhnya ke atas keputusan yang dibuat sebagaimana dipertanggungjawabkan oleh Parlimen," katanya.

Artikel Berikut

Temui Cincin Permata Biru

Artikel Lain