suria

Pengurus Ejen Hartanah Mati Dibunuh

- Gambar hiasan
IPOH: Seorang pengurus ejen hartanah ditemui mati dengan kesan tetakan di kepala, lengan dan paha kanan di hadapan Dewan Badminton Tambun di sini, Ahad.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Sum Chang Keong berkata mayat S.Selvarajoo, 49, yang hanya berkameja-T dan berseluar dalam itu ditemui seorang lelaki pada  11.35 malam, dipercayai dibunuh.

"Seluar dan dokumen diri mangsa tidak ditemui di tempat kejadian, namun polis menemui sebatang kayu warna kuning, sepasang selipar warna hitam dan kepala kapak," katanya dalam kenyataan Isnin.

Beliau berkata selain itu, polis menemui sebuah kereta Perodua Myvi milik isteri mangsa yang diletakkan berhampiran mayat.

Susulan itu, polis menahan empat individu termasuk dua wanita berumur lingkungan 30-an dan 40-an di dua lokasi berasingan hari ini bagi membantu siasatan.

"Seorang lelaki dan seorang wanita ditahan di perkarangan Balai Polis Tambun pada pukul 3.39 petang dan merampas dua telefon bimbit.

"Dua jam kemudian polis menahan dua lagi individu dan merampas sebuah telefon bimbit dan sebuah kereta Toyota Avanza di Taman Sri Tambun," katanya.

Katanya, dua suspek lelaki ditahan reman tujuh hari manakala dua wanita direman dua hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
kes bunuh, tetak, Sum Chang Keong

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain