suria

Keputusan 'Lain-Lain' Perlu Disokong Pengesahan Undang-Undang

Baru Bian
KUCHING: Takrif peribumi masyarakat Sarawak dalam Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda selaras dengan keputusan kerajaan Persekutuan menghapuskan kategori 'lain-lain' di semua borang rasmi bagi menggambarkan etnik.

Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian berkata ini adalah penting untuk memberi pengesahan undang-undang terhadap keputusan itu.

Beliau menyambut baik pengumuman Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menghapuskan 'lain-lain' dalam borang kerajaan, tetapi berkata keputusan ini mesti disertakan dengan pindaan undang-undang yang perlu untuk menentukan kepelbagaian kumpulan pribumi di negeri ini.

"Adalah penting untuk melakukan pindaan Perlembagaan dan Ordinan Tafsiran Anak Negeri untuk terma-terma ini.

"Jika undang-undang itu tidak dipinda, ia bermakna kerajaan tidak serius dan ini hanyalah gimik politik," katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR negeri di sini pada Isnin.

Baru berkata pengesahan orang asal di negeri ini untuk menggantikan 'lain-lain' adalah penting kerana ia melibatkan budaya, adat dan identiti mereka.

"Peribumi Sarawak ingin diiktiraf oleh istilah yang mereka selesa.

"'Lain-lain' tidak mempunyai definisi dalam undang-undang dan ia boleh menjadi sesuatu yang menghina. Ini bermakna anda tidaklah ketara, anda tidak penting, anda hanya 'lain-lain'.

"Jika anda boleh menamakan kaum-kaum tertentu di Malaysia, mengapa tidak anda menamakan semua kaum-kaum lain? Saya boleh beritahu anda bahawa mereka adalah orang-orang asal Borneo. Anda tidak boleh hanya menganggapnya sebagai 'lain-lain'," katanya.

Baru berkata Pakatan Harapan telah menyatakan dengan jelas bahawa gabungan itu akan mula membuat pindaan yang perlu jika diberikan kuasa.

Beliau menambah kerajaan PKR telah lama menggesa untuk memansuhkan ruangan 'lain-lain; dalam borang rasmi.

Artikel Lain