suria

Malaysia Catat Hampir Setengah Juta Kemalangan Jalan Raya Pada 2015

-Gambar fail
PETALING JAYA: Hampir setengah juta kemalangan jalan raya telah berlaku di Malaysia pada 2015 dengan mengorbankan hampir 7,000 orang, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

"Malaysia mencatatkan 489,606 kemalangan jalan raya dan 6,706 kematian disebabkan kemalangan bagi tahun 2015.

"Ini merupakan kenaikan dari tahun 2014 dan kerugian ekonomi yang ditanggung adalah dianggarkan melebihi RM8 bilion. Statistik sebegini amat membimbangkan, oleh itu kerajaan komited dengan memperkenalkan langkah-langkah baru yang berkesan untuk dilaksanakan," katanya dalam satu kenyataan akhbar pada Isnin.

Kenyataan media ini dikeluarkan selepas mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan Jalan Raya pada Isnin yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata taklimat mengenai inisiatif keselamatan jalan raya semasa, termasuk statistik kemalangan jalan raya pada waktu perayaan juga telah dibentangkan dalam mesyuarat ini.

"Jawatankuasa ini juga telah dimaklumkan mengenai status terkini Pelan Advokasi Jabatan Keselamatan Jalan Raya 2016, Pelaksanaan Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia 2014-2020 dan Status Pelaksanaan Projek Semakan Semula Modul Pendidikan Keselamatan Jalan Raya 2016," katanya.

Katanya, mesyuarat turut membincangkan tentang pelaksanaan Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (Awas) dan Sistem Pemberian Mata Demerit Jalan Raya (Kejara).

Artikel Sebelum

Artikel Lain