suria

Kerajaan Johor Bantu Siswazah Menganggur Dapatkan Kerja

Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
ISKANDAR PUTERI: Kerajaan Johor sedang berusaha untuk membantu siswazah menganggur khususnya di kawasan Iskandar Malaysia mendapatkan pekerjaan dengan memperkenalkan program baharu bersama-sama pihak industri.

Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata usaha terbabit masih dalam peringkat perbincangan antara kedua-dua pihak dan ia bakal diumumkan tidak lama lagi.

"Bagi mencapai hasrat itu, kerajaan negeri juga akan menjalankan kerjasama dengan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA).

"Usaha ini merupakan kerjasama bersama industri. Kita (kerajaan negeri) cuba untuk membantu, mencari cara bagaimana hendak menggalakkan pihak industri menawarkan pekerjaan kepada pelajar lepasan universiti yang tidak bekerja," kata beliau.

Mohamed Khaled berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) Legoland Malaysia Resort dan Universiti Teknologi Mara (UiTM), di sini Isnin.

Perjanjian untuk tempoh dua tahun itu dimeterai Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Datuk Dr Hassan Said dan Pengarah Sumber Manusia Legoland Malaysia Resort, Murni Masrom.

Menerusi perjanjian itu, Legoland Malaysia Resort bersetuju untuk menerima pelajar UiTM menjalani latihan industri dalam bidang perkhidmatan pengurusan hotel dan pelancongan, memperkukuh hubungan bersama di samping bertukar kepakaran dan idea.

Setakat ini, Legoland Malaysia Resort telah menawarkan peluang latihan industri kepada 247 mahasiswa dari lebih 40 kolej dan universiti seluruh Malaysia.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled turut menyarankan pihak syarikat dan majikan di kawasan Iskandar Malaysia supaya memberi gaji yang setimpal kepada pekerja terutama siswazah yang berkemahiran.

"Sekiranya majikan tidak memberi gaji yang setimpal kepada pekerja yang telah menerima latihan, mereka akan tinggalkan pekerjaan dan beralih ke Singapura atau sebagainya," katanya.

Artikel Lain