suria

Catuan Bekalan Air Di Utara Perlis Bermula Sabtu

KANGAR: Catuan bekalan air di kawasan utara Perlis dari Wang Kelian, Kaki Bukit, Titi Tinggi, Beseri dan Abi yang melibatkan 13,000 pengguna domestik, bermula Sabtu.

Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man berkata beberapa kawasan lain di Kampung Melayu, Kampung Kolam dan Kampung Kok Mak di Padang Besar; Jalan Batu 16; Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Guar Chenderai dan Kampung Bukit Merah, Beseri masih mendapat bekalan air dengan tekanan rendah. 

Sehubungan itu, beliau berkata kawasan yang terjejas akan dibekalkan dengan bekalan air bersih daripada lori tangki dan tangki statik yang akan diletakkan di beberapa tempat strategik di kampung-kampung berkenaan.

Azlan berkata Syarikat Air Perlis (SAP) juga akan membekalkan air bersih kepada sekolah atau institusi pengajian tinggi (IPT) yang berada di kawasan terjejas seandainya terdapat permintaan daripada pihak mereka. 

"Memandangkan hujan tidak turun hingga malam ini (Jumaat malam) dan paras airdi Empangan Timah Tasoh telah mencecah ke paras 26.2 meter (Jumaat) berbanding 26.23 meter (Khamis), kerajaan negeri akan melaksanakan langkah catuan bekalanair dan pengumuman mengenai perkara ini telah dikeluarkan kepada penduduk terlibat oleh SAP," katanya.  

Azlan yang juga Pengerusi SAP berkata pelatih PLKN Guar Chenderai 2.0 Siri13/2016 yang telah memulakan sesi latihan pada 26 Mac lepas disyorkan diberi cuti sehingga bekalan pulih manakala pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Beseri boleh diberi pelepasan untuk pulang ke rumah pada cuti hujung minggu.

"Pelan catuan air ini tertakluk kepada pindaan dari semasa ke semasa oleh SAP kerana jika berlaku hujan dalam masa terdekat maka kita boleh hentikan daripada terus melakukan tindakan berkenaan (catuan bekalan air). 

"Dalam keadaan kritikal ini, pengguna di kawasan terlibat dinasihatkan untuk menjimatkan penggu naan air dan tidak membazir bekalan air yang sedia ada semasa keadaan darurat," katanya selepas meraikan 44 mantan Pengerusi Jawatankuasa Ketua Kampung (JKKK) yang telah bersara pada Majlis Jasamu Dikenang Bersama Menteri Besar Perlis di Dewan Residensi di sini, Jumaat malam.

Beliau berkata operasi pembenihan awan (OPA) di Perlis diteruskan untuk hari kelima hari ini dan dijangka berakhir pada 18 April. -Bernama

Catuan bekalan air, perlis

Artikel Lain