suria

Pelajar Dipukul: Polis Tahan Empat Lagi Suspek

Mohd Roy Suhaimi Shariff.

KUALA LUMPUR: Polis menahan empat orang lagi suspek pada Khamis untuk membantu siasatan berhubung kes dua pelajar sekolah menengah dipukul oleh sekumpulan pelajar di Jalan Wangsa Siaga, di sini, 7 April lalu.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Supt Mohd Roy Suhaimi Shariff berkata mereka yang ditahan merupakan pelajar sekolah berusia antara 15 hingga 17 tahun.

Beliau berkata dengan penahan empat lagi suspek, jumlah keseluruhan yang ditahan kini adalah seramai 31 orang.

"Bagaimanapun, 16 daripada suspek sebelum ini sudah pun dibebaskan atas jaminan polis sementara tiga suspek lagi akan dituduh.

"Selain itu, 12 orang lagi suspek direman hingga hari ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program derma darah di Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju Sempena Peringatan Hari Polis ke-209, di sini, Jumaat.

Mohd Roy berkata motif sebenar pergaduhan dipercayai berpunca daripada perbalahan antara dua orang pelajar.

Dalam kejadian 2 petang 7 April lalu, kedua-dua pelajar berkenaan yang menaiki motosikal dalam perjalanan pulang dari sekolah telah dikejar beberapa kumpulan pelajar lain sebelum mereka dibelasah menggunakan kayu, topi keledar dan besi.

Akibat serangan itu, dua pelajar terbabit mengalami kecederaan di kepala dan mereka dibawa ke Hospital Ampang untuk menerima rawatan.

Seorang daripada pelajar tersebut menerima 10 jahitan di kepala, manakala seorang lagi tujuh jahitan. - BERNAMA

kes pukul, pelajar

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain