suria

Kenaikan Yuran Syarikat Penerbangan Ditentukan Jumaat - DCA

Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman
PUTRAJAYA: Cadangan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) untuk mengkaji semula yuran dan caj ke atas industri penerbangan masih lagi merupakan satu cadangan dan perbincangan lanjut akan diadakan dengan penggiat industri esok, kata Ketua Pengarah DCA, Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman.

Beliau berkata, mesyuarat itu akan membolehkan pengendali syarikat penerbangan mengemukakan kes mereka, dengan sebahagiannya sudah memnyerahkan cadangan balas.

"Cadangan DCA itu bukan sudah ditetapkan," katanya pada taklimat media mengenai cadangan kenaikan yuran itu di sini Isnin, dengan menambah, DCA dan Kementerian Pengangkutan sudah pasti akan mendengar pandangan penggiat industri terlibat.


Menurutnya, laporan kenaikan 10 kali ganda dalam yuran dan caj itu belum lagi diluluskan, dengan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dijangka mengumumkan keputusan akhir mengenai perkara itu Jumaat ini.

Azharuddin berkata, yuran dan caj berkenaan tidak pernah dikaji semula sejak 40 tahun lalu dan cadangan kenaikan itu akan termasuk penggunaan ruang udara, kemudahan trafik udara serta lesen penerbangan pilot.

Di bawah cadangan itu, caj pengendalian penerbangan udara (ANFC) akan naik daripada lima sen setiap batu nautika sekarang ini kepada 50 sen untuk pesawat ringan tidak lebih 2,500 kilogram.

Untuk pesawat lebih besar seperti Airbus A320/A330 dan Boeing B737/B777, kos itu akan meningkat kepada RM1-RM2.50 setiap batu nautika berbanding 10-25 sen sekarang, manakala bagi pesawat melebihi 135,000 kilogram, kadar itu akan naik daripada 30 sen kepada RM3 setiap batu nautika.

Azharuddin berkata, yuran dan caj yang lebih tinggi itu perlu bagi meningkatkan keupayaan DCA sebagai pihak berkuasa penerbangan, kerana kerajaan sudah meluluskan rancangan untuk merubah DCA sebagai pihak berkuasa, yang memerlukannya berdikari dari segi kewangan.

Menurutnya, jabatan itu juga sedang menambah baik sistemnya, termasuk teknologi kawalan trafik udara dan kawalan pemeriksaan keselamatan ke atas pesawat dan lapangan terbang.

"Kami memerlukan peralatan yang lebih baik dan jika kami tidak melakukan ini, kami akan ketinggalan di belakang. Pada masa sama, kami akan diaudit Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa pada Mei ini.

"Dengan menaik taraf sistem, kami akan berupaya mengurus ruang udara dengan selamat dan cekap," katanya dengan menambah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur kini mencatat purata 1,000 pergerakan penerbangan sehari, merangkumi 500 perlepasan 500 pendaratan.

Menurut beliau, DCA membelanjakan kira-kira RM250 juta setahun untuk mengawal selia ruang udara Malaysia, tetapi memperoleh pendapatan purata RM50 juta, menyebabkan defisit RM200 juta yang memerlukan jabatan itu mendapatkan dana tambahan daripada kerajaan.

Azharuddin berkata, cadangan kadar baharu itu masih rendah berbanding beberapa negara Asia Tenggara lain, termasuk Thailand dan Vietnam.

Ketika ditanya sama ada kenaikan itu akan memberi kesan kepada harga tiket, beliau berkata: "Ia terpulang kepada pengendali syarikat penerbangan untuk menangani kenaikan itu sama ada mereka mahu menyerapnya atau melepaskannya kepada pelanggan."

Artikel Sebelum

Artikel Lain