suria

Operasi Rayani Air Digantung Sementara Tiga Bulan - DCA

PETALING JAYA: Operasi syarikat penerbangan patuh syariah pertama Malaysia, Rayani Air digantung sementara selama tiga bulan, berkuat kuasa pada Isnin.

Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dalam satu kenyataan pada Isnin berkata, penggantungan sementara itu di bawah Peraturan 87 (1) Peraturan Penerbangan Awam 1996.

"DCA menggantung sementara sijil pengendali udara Rayani Air yang dikeluarkan di bawah Peraturan Penerbangan Awam 1996 bermula dari tarikh notis ini," menurut kenyataan itu.

Menurut DCA, satu inkuiri berhubung Rayani Air akan diadakan pada 12 Mei depan.

Pengumuman mengenai notis penggantungan itu dibuat oleh Ketua Pengarah DCA, Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman dalam sidang media di Putrajaya, Isnin.

Dilaporkan, notis penggantungan Rayani Air telah dikeluarkan kepada syarikat penerbangan tersebut pada Isnin.

mStar Online pada Sabtu lalu melaporkan bahawa Rayani Air mengumumkan syarikat penerbangan itu menggantung operasinya berkuat kuasa serta-merta pada Jumaat lalu sehingga ke satu tempoh yang akan diumumkan kemudian, sebagai sebahagian daripada usaha penstrukturan semula syarikat.

Ia susulan pembatalan beberapa penerbangan pada Jumaat lalu disebabkan oleh mogok yang dilancarkan juruterbangnya.

Bagaimanapun, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai pada Ahad berkata, syarikat penerbangan tidak sepatutnya menggantung operasi penerbangan mereka sendiri tanpa kebenaran DCA.

Rayani Air, DCA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain