suria

Mahkamah Batalkan Saman Deepak Berhubung Buku Sabbaruddin Chik

Tan Sri Sabbaruddin Chik bersama barisan peguamnya.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi pada Isnin membatalkan saman fitnah difailkan seorang ahli perniagaan terhadap Pengerusi Amanah Raya Berhad Tan Sri Sabbaruddin Chik dan seorang penulis buku berhubung penerbitan buku bertajuk "Membongkar Skandal Deepak dan Bank Rakyat, Dari Isi Hati Tan Sri Sabbaruddin Chik".

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Roslan Abu Bakar membuat keputusan itu selepas J. Deepak selaku plaintif tidak hadir pada perbicaraan kes samannya pada Isnin.

Peguam Adnan Seman, mewakili Sabbaruddin yang juga bekas Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan dan penulis buku itu, Shahbudin Husin ketika ditemui pemberita berkata saman itu dibatalkan kerana plaintif yang sepatutnya memberi keterangan tidak hadir tanpa sebarang alasan.

Katanya, Deepak juga pernah tidak hadir pada perbicaraan yang ditetapkan sebelum ini tetapi beliau memberikan alasannya kepada mahkamah.

"Perbicaraan kes itu ditetapkan selama tiga hari bermula hari ini (Isnin) dan keempat-empat saksi defendan hadir ke mahkamah termasuk kedua-dua defendan (Sabbaruddin dan Shahbudin)," kata peguam itu.

Peguam A.K Sharma mewakili Deepak turut mengesahkan saman yang dikemukakan oleh anak guamnya dibatalkan kerana beliau gagal hadir ke mahkamah.

Pada 11 Mac 2015, Deepak memfailkan saman itu selepas mendakwa Sabbaruddin telah memberikan bahan-bahan yang dijadikan asas oleh Shahbudin untuk mengarang buku tersebut.

Dalam pernyataan tuntutannya, plaintif mendakwa buku terbitan Special One Publication itu yang mengandungi perkataan-perkataan yang memfitnah dirinya diedar secara meluas sehingga menyebabkan dia terpaksa menanggung malu dan reputasinya terjejas.

Deepak juga mendakwa perkataan-perkataan fitnah dalam buku itu membawa maksud dia seorang ahli perniagaan yang tidak boleh dipercayai dan menjalankan perniagaan secara tidak jujur.

Oleh itu, dia menuntut ganti rugi am RM1.1 bilion, ganti rugi teruk dan injunksi tetap bagi menghalang pihak defendan daripada terus menerbitkan pernyataan serupa, selain menuntut faedah, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Sabbaruddin memberitahu pemberita bahawa beliau bersyukur dengan keputusan mahkamah itu.

Artikel Sebelum

Artikel Lain