Malaysia Bakal Perkenal Undang-Undang Holistik Biodiversiti - Semasa | mStar

Malaysia Bakal Perkenal Undang-Undang Holistik Biodiversiti

Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar
PUTRAJAYA: Malaysia akan memperkenalkan 'undang-undang biodiversiti secara holistik' bagi perlindungan alam sekitar, bertujuan merapatkan jurang antara undang-undang sedia ada dengan satu Akta baharu yang menyeluruh.

Menyifatkannya sebagai amat penting dalam melindungi hutan, taman laut, badan-badan hidupan air dan hidupan liar, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata Akta itu akan meliputi segala-galanya, termasuk perkara-perkara 'yang tidak dapat diterangkan'.

Beliau berkata 'undang-undang yang digubal secara halus dan teliti' ini akan menjadi undang-undang biodiversiti pertama di negara ini.

"Akta Biodiversiti adalah sangat menarik kerana ia termasuk apa yang kita boleh dan tidak boleh lihat, seperti ekosistem. Ia juga akan menangani bilangan harimau yang semakin berkurangan," katanya kepada Sunday Star.

Draf itu yang sudah selesai dibuat turut memasukkan input daripada penduduk kampung, dan perlu diteliti Jabatan Peguam Negara sebelum ia dipersembahkan kepada Majlis Tanah Negara dan dibentangkan di Parlimen pada akhir tahun ini, katanya.

"Saya sangat gembira dengan draf itu tetapi kita masih perlu memberi penjelasan kepada negeri-negeri kerana ia membuatkan mereka terikat," katanya.

Beliau memberi jaminan bahawa undang-undang itu tidak akan mengambil kuasa negeri 'tetapi akan dilaksanakan untuk melindungi kekayaan hutan mereka'.

"Sama ada tanah kerajaan atau swasta, ia mesti dipatuhi jika ia melibatkan pokok atau tumbuh-tumbuhan asli kerana kita tidak boleh benarkan ia dieksploitasi. Kita mempunyai kepelbagaian biodiversiti seperti hutan yang menghasilkan herba tetapi kita tidak melindunginya.

"Jika ada rakan-rakan dari negeri atau negara lain datang ke hutan anda dan mendapati terdapat pokok yang dipercayai dapat menyembuhkan kanser dan mahu mematenkannya, adakah anda mahu? Jadi, negeri-negeri tidak mempunyai pilihan melainkan melaksanakan undang-undang kita."

Pada 1 Mac, The Star melaporkan bahawa sebaik sahaja ditandatangani, Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik memerlukan negara menjaga keutuhan biodiversitinya.

Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan 2016-2025 yang telah dilancarkan pada Februari lalu telah menggariskan cara-cara untuk mengurangkan tekanan ke atas biodiversiti, melindungi ekosistem utama dan spesies, melibatkan lebih ramai orang dalam pemuliharaan dan berkongsi manfaat menggunakan kekayaan semula jadi.

Dr Wan Junaidi berkata kementerian juga akan mengemukakan cadangan untuk meningkatkan kompaun terhadap aktiviti pembakaran terbuka yang kini sedang diperiksa oleh Jabatan Peguam Negara untuk kelulusan kabinet tidak lama lagi.

Kompaun semasa RM2,000 adalah terlalu kecil untuk pesalah.

Kadar kompaun baharu akan ditentukan berdasarkan skala tertentu.

"Sebagai contoh, penduduk kampung yang bakar sampah di belakang rumahnya akan membayar RM2,000, syarikat pembinaan akan membayar RM10,000 dan perladangan besar perlu membayar RM250,000 kompaun maksimum," katanya. 

"Peguam Negara sangat berminat dan sedang berbincang dengan pihak undang-undang di rantau ini berhubung  undang-undang yang kita mahukan."

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Tawaran Lumayan Beli Ular Sawa Ditolak

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Kata kuncinya semangat berpasukan, penganjuran julung kali perlumbaan perahu naga korporat PjH catat kejayaan berganda!

PERLUMBAAN perahu naga korporat anjuran Putrajaya Holdings membuka laluan kepada perlumbaan lebih besar pada masa akan datang.

default image

Teknologi analitik data raya asas pelaksanaan inisiatif kerajaan masa depan – Saifuddin Nasution

PROGRAM Subsidi Petrol merupakan inisiatif kerajaan untuk meringankan beban isi rumah berpendapatan rendah melalui pengagihan semula subsidi petrol.

default image

Pakar ekonomi saran Malaysia laksana pembaharuan struktur

HALA tuju perdagangan dan pelaburan global memainkan peranan penting dalam ekonomi terbuka seperti Malaysia.

default image

Air Selangor kini pemegang lesen tunggal perkhidmatan bekalan air… pengguna bakal terima bil baharu!

MENDAPATKAN bekalan air bersih yang berterusan sudah menjadi satu kemestian dalam kehidupan masyarakat hari ini.

default image

TMM2020: “Malaysia ada makanan sedap, banyak tempat indah dan membeli-belah pun murah” - Muhamaddin Ketapi

MALAYSIA menetapkan sasaran 30 juta pelancong dengan sasaran pendapatan sehingga RM100 bilion untuk TMM2020.

Artikel Lain