suria

8,500 Hektar Sawah Di Pulau Pinang Kering Berikutan Cuaca Panas

Kanak-kanak bermain basikal di sawah padi di Lahar Ikan Mati yang kering berikutan cuaca panas luar biasa yang melanda negeri ini.
Kerajaan negeri berusaha membekalkan air ke kawasan pertanian negeri namun setakat ini hanya dapat membekalkan 40 peratus air kepada sawah padi.

KEPALA BATAS: Lebih 8,500 hektar sawah di Pulau  Pinang mengalami masalah bekalan air sehingga menjadi kontang menyebabkan jadual penanaman padi terpaksa ditangguh berikutan cuaca kering yang berlarutan sejak awal tahun.

Masalah itu menyebabkan kira-kira 50,000 pesawah terjejas dan terpaksa menangguhkan penanaman padi yang sepatutnya bermula Mac lalu selepas proses penuaian padi dilakukan Januari lepas.

Sehubungan itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pulau Pinang telah mula membekalkan air kepada 3,328 hektar sawah atau 40 peratus daripada keseluruhan kawasan penanaman padi bagi membolehkan pesawah membuat persedian untuk menanam padi.

Pengerusi Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan negeri Dr Afif Bahardin berkata pihaknya menjangkakan keseluruhan kawasan penanaman padi terutama di daerah Seberang Perai Utara (SPU) akan dibekalkan air menjelang Mei ini.

"Sejak minggu lepas, 1,546 hektar kawasan sawah di Seberang Perai Utara (SPU), 1,365 hektar (Seberang Perai Selatan), 305 hektar (Seberang Perai Tengah) dan 112 hektar di Barat Daya telah mula dibekalkan air oleh JPS dengan mengepam dari sungai berhampiran sawah.

"Kami jangkakan Mei ini semua kawasan penanaman padi dapat disalurkan air dan pesawah boleh menanam semula kerana mereka telah menangguhkannya sejak Mac lepas berikutan fenomena El Nino," katanya kepada pemberita selepas lawatan ke beberapa kawasan penanaman padi di SPU di sini, Jumaat.

Sementara itu, Dr Afif berkata kerajaan negeri sedia bekerjsama dengan kerajaan persekutuan untuk melakukan pembenihan awan supaya bekalan air di  sungai meningkat bagi membolehkan ia dipam ke kawasan sawah.

Beliau berkata kerajaan negeri telah menyediakan peruntukan sebanyak RM100,000 untuk kos lima hari pembenihan awam dan proses pembenihan awan itu perlu dilakukan di Baling, Sik dan Kuala Muda kerana punca air datang dari sana.-- Bernama


JPS Pulau Pinang, sawah, El Nino

Artikel Lain