suria

Pendeposit Kena Tunggu 83 Tahun Tunai Haji Apabila Keluar Deposit Haji

KUALA LUMPUR: Pendeposit Tabung Haji (TH) yang mengeluarkan deposit daftar haji bersama wang simpanan mereka, akan hilang giliran menunaikan haji sehingga 83 tahun, persidangan Dewan Rakyat diberitahu, Khamis.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata perkara ini berlaku akibat pendeposit terpengaruh dengan fitnah yang dilemparkan terhadap TH baru-baru ini oleh anggota parlimen pembangkang kononnya TH tiada duit dan rugi.

"Kalau mereka mendaftar balik, mereka akan mendapat giliran 83 tahun lagi walaupun sepatutnya boleh pergi tahun depan atau dua tahun lagi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Irmohizam Ibrahim (BN-Kuala Selangor) mengenai kesan yang diterima TH susulan surat yang dikeluarkan Bank Negara Malaysia (BNM) kepada organisasi itu, yang diputar-belit sesetengah pihak.

Asyraf Wajdi berkata penyebaran surat daripada BNM melalui media telah menyebabkan TH dilemparkan dengan berita yang tidak berasas dan andaian negatif pelbagai pihak sehingga pendeposit TH menjadi mangsa.

Menjawab soalan Irmohizam mengenai tindakan TH menangani elemen fitnah itu, Asyraf Wajdi berkata TH sedaya mungkin melakukan pelbagai cara termasuk memujuk pendeposit untuk menyakini kemampuan pengurusan haji lembaga itu.

Terdahulu, menjawab soalan asal dari Irmohizam mengenai kos sebenar menunaikan haji pada masa kini, katanya, TH masih mengekalkan bayaran haji terendah sebanyak RM9,980 bagi seorang jemaah selama lapan tahun berturut-turut sejak 2009 walaupun kos haji sebenar meningkat setiap tahun.

"Bagi musim ini, kos haji sebenar bagi seorang jemaah adalah RM18,890 dan perbezaan RM8,910 adalah ditanggung oleh TH. Kos keseluruhan subsidi/tanggungan haji bagi tahun ini dianggarkan mencecah RM160 juta," katanya.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan sentiasa mengambil inisiatif dengan membuat rayuan pada setiap tahun kepada kerajaan Arab Saudi untuk mempertimbangkan penambahan kuota untuk jemaah haji negara ini.

"Kuota jemaah haji Malaysia terhad kepada 22,320 orang sahaja berikutan projek pembangunan di Kota Makkah termasuk pembesaran Masjidil Haram, kerajaan Arab Saudi telah mengurangkan kuota rasmi semua negara bermula musim haji 2013 hingga tahun ini," katanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain