Lebuhraya Bayan Lepas Dibuka Hari Ini - Semasa | mStar

Lebuhraya Bayan Lepas Dibuka Hari Ini

Lebuhraya Bayan Lepas dari Batu Maung ke Sungai Nibong sepanjang 3.2 kilometer yang menelan belanja RM337 juta telah dirasmikan oleh Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof, Rabu. Lebuhraya berkenaan merupakan sebahagian daripada inisiatif penguraian trafik dan membantu mengurangkan kesesakan lalulintas di antara Batu Maung dan Sungai Nibong.

GEORGE TOWN: Laluan bertingkat Lebuhraya Bayan Lepas (BLE) dibuka kepada pengguna pada Rabu dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas antara Batu Maung dan Sungai Nibong.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata pembukaan struktur bertingkat empat lorong berkembar bernilai RM337 juta itu menepati jadual dan merupakan sebahagian daripada inisiatif penguraian trafik di kawasan berkenaan.

"Pembinaan BLE yang bermula pada 1 April 2014 kini 99 peratus siap dengan baki satu peratus membabitkan beberapa kerja kecil bagi laluan basikal dan kerja landskap," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja prapembukaan projek menaik taraf BLE dari Batu Maung ke Sungai Nibong, Rabu. 

Beliau berkata BLE terbahagi kepada dua komponen iaitu struktur bertingkat (atas) berukuran 3.2 kilometer manakala laluan searas (bawah) sepanjang 4.2 kilometer.

Katanya lebuh raya itu mampu menampung jumlah trafik harian sehingga 70,000 kenderaan pada tahap perkhidmatan (LOS-Level of Service) A di laluan bertingkat dan LOS C di laluan searas. 

"Bagi tahap LOS A, setiap lorong terdapat tujuh kenderaan per kilometer, manakala bagi LOS C, 11 hingga 16 kenderaan per kilometer," kata Fadillah.

Menurut beliau, sepanjang laluan itu terdapat tiga persimpangan iaitu Hilir Sungai Kluang, Lebuhraya Kampung Jawa dan Jalan Kampung Jawa.

Katanya bagi memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna, laluan BLE dilengkapi dengan lampu jalan LED, sistem saliran, laluan basikal, jejambat basikal dan pembahagi jalan. 

Dalam perkembangan lain, beliau berkata pihaknya belum menerima sebarang makluman mengenai pelaksanaan Pelan Induk Pengangkutan (PIP) Pulau Pinang daripada kerajaan negeri. 

"Setakat ini kita tidak diminta pandangan mengenai perkara ini. Tetapi jika mereka perlukan bantuan daripada kita dari segi teknikal atau rundingan, kerajaan persekutuan yang prihatin sanggup memberi sebarang bantuan yang diperlukan," katanya. 

Dilaporkan sebelum ini kerajaan negeri telah melantik SRS Konsortium iaitu  usaha sama antara Gamuda, Ideal Property Development Sdn Bhd dan Loh Phoy Yen Holdings Sdn Bhd, sebagai Rakan Pelaksana Projek bagi projek PIP itu.

Projek PIP yang menelan kos RM27 bilion antaranya membabitkan pembinaan terowong dasar laut sepanjang 6.5 kilometer, tiga lebuh raya dan Penang Sky Cab.-- Bernama


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Klik

default image

Jurang ekonomi penduduk bandar dan desa cabaran utama WKB 2030

JURANG ekonomi yang besar di antara kumpulan pendapatan, etnik serta kawasan luar bandar dan bandar antara cabaran besar yang dihadapi negara.

default image

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030... ketahui suara dan harapan rakyat

RAKYAT menantikan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 yang dapat memberi manfaat kepada segenap lapisan masyarakat.

default image

15 prinsip tulang belakang untuk capai matlamat WKB2030

LIMA belas prinsip panduan digariskan berasaskan tiga aspek penting iaitu pembangunan untuk semua, menangani jurang kekayaan dan pendapatan serta negara bersatu, makmur dan bermaruah.

default image

Putrajaya... tak kenal maka tak cinta

PUTRAJAYA dibina atas sebuah impian. Dan berdasarkan beberapa pertimbangan, ia merupakan lokasi impian untuk didiami.

default image

Tingkatkan kemahiran, produktiviti untuk lonjakkan status ekonomi Harimau Asia

DALAM usaha untuk melonjakkan status sebagai ekonomi Harimau Asia, Malaysia berusaha untuk mengukuhkan ekonomi dan status fiskal menjelang 2021.

Artikel Lain