suria

Tembak: Polis Siasat Hubungan Banduan, Petugas Penjara

Kesan tembakan di Balai Pengawal Penjara Alor Setar, yang dilepaskan oleh suspek bermotosikal khamis lalu. Foto:Bernama

ALOR SETAR: Polis melakukan siasatan menyeluruh termasuk hubungan banduan dan petugas penjara berhubung kejadian tembakan rambang di Penjara Alor Setar Khamis lepas.

Timbalan Ketua Polis Kedah Datuk Abd Jalil Hassan berkata polis menyiasat sama ada insiden itu mempunyai kaitan dengan rasa tidak puas hati layanan warden penjara terhadap banduan yang mempunyai kaitan dengan suspek.

Katanya ini kerana banduan yang ditempatkan di penjara tersebut merupakan banduan yang masih dibicarakan di Mahkamah Alor Setar dan mungkin mempunyai kaitan dengan anggota kongsi gelap.

"Kita juga masih menunggu hasil analisa makmal forensik terhadap peluru senjata api yang digunakan sama ada pernah digunakan oleh penjenayah sebelum ini," katanya pada Majlis Pemakaian Pangkat Koperal ke Sarjan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, Selasa.

Abd Jalil berkata hasil siasatan awal mendapati suspek yang merupakan lelaki tempatan berusia antara 20-an ke 30-an itu bukan daripada kalangan penembak tepat.

Beliau juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan insiden tembakan itu untuk tampil menyalurkan maklumat bagi membantu pihak polis menjalankan siasatan.

Dalam kejadian kira-kira 10.45 malam Khamis lepas, seorang lelaki tidak dikenali melepaskan enam das tembakan ke arah balai pengawal dan empat das lagi di menara kawalan di Penjara Alor Setar.

Dua suspek yang menaiki motosikal dikatakan berhenti kira-kira 10 meter dari balai pengawal sebelum seorang daripada mereka turun dan melepaskan tembakan rambang sebelum beredar dari tempat kejadian. 

Sementara itu, Abd Jalil berkata pada majlis pemakaian pangkat tersebut, seramai 113 anggota plis berpangkat Koperal dari 11 daerah di negeri ini telah dinaikkan pangkat kepada Sarjan. -Bernama

kes tembak penjara

Artikel Lain