suria

Polis Marin Semporna Jumpa Pistol Di Pulau Bum-Bum

SEMPORNA: Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna menemui sepucuk pistol dan kelongsong peluru yang disorok di celah-celah batu di Tanjung Manimpa, Pulau Bum-Bum, Ahad.

Komander PPM Wilayah Sabah Asisten Komisioner Mohamad Madon berkata, pistol berkenaan dijumpai kira-kira 1.30 tengah hari oleh sepasukan anggota PPM dan pasukan VAT 69 hasil maklumat orang ramai.

"Sepasukan anggota PPM yang dibantu oleh pasukan VAT 69 ke lokasi selepas menerima maklumat orang ramai. Hasil pemeriksaan, pasukan berkenaan menemui satu objek mencurigakan dibungkus menggunakan plastik kuning yang disorok pada timbunan batu.

"Pemeriksaan lanjut mendapati objek berkenaan ialah sepucuk pistol jenis .38 dan satu kelongsong peluru yang diikat menggunakan getah hitam serta dibungkus dengan plastik kuning dan hitam," katanya dalam kenayataan di sini, Isnin.

Mohamad berkata, pistol berkenaan dipercayai untuk digunakan dalam aktiviti jenayah dan rompakan di laut.-- Bernama

Pulau Bum-Bum, Polis Marin, Semporna

Artikel Sebelum

Artikel Lain