suria

PAS Tak Sertai Himpunan Bantah GST Kerana Ada Program Lain Di Kedah

KUALA LUMPUR: PAS menyatakan bahawa mereka sentiasa konsisten dengan pendirian menentang pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

PAS sebelum ini telah mendiamkan diri tentang mengapa parti itu tidak mengambil bahagian dalam perhimpunan bantah GST pada Sabtu lalu yang dianjurkan oleh Parti Amanah Negara.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menggeleng-gelengkan kepalanya tanda tidak setuju ketika ditanya pemberita di lobi Parlimen jika beliau menyokong pelaksanaan GST.

Ditanya mengapa PAS tidak menyertai perhimpunan pada Sabtu lalu, Hadi hanya diam.

Hadi juga tidak mengulas sama ada PAS akan bekerjasama dengan parti-parti pembangkang lain dalam menentang GST.

Ahli Parlimen Bukit Gantang (PAS) Idris Ahmad berkata parti itu tidak mengambil bahagian dalam perhimpunan tersebut kerana sebelum itu satu program telah diatur di Kedah.

"Kami tetap dengan pendirian kami dalam menentang GST tetapi pada hari itu kami mempunyai program berkaitan penoreh getah di Sik, Kedah.

"Kami konsisten mengenai pendirian kami menentang GST dan kami tidak akan meluluskannya," kata Idris.

Idris juga tidak dapat menjelaskan mengapa tiada wakil daripada parti itu menghadiri perhimpunan tersebut.

Malah beliau juga tidak menjawab sama ada parti itu akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan dan DAP untuk menentang GST yang telah setahun dilaksanakan.

Bagaimanapun beliau berkata PAS telah mengadakan perhimpunan bantah GST tahun lepas yang mendapat sambutan baik dan mewakili pendirian parti.



Artikel Lain