suria

Jabatan Peguam Negara Bantah Permohonan Anwar Batal Keputusan Lembaga Pengampunan

Anwar Ibrahim.

KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara mengemukakan bantahan terhadap permohonan bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan anggota keluarganya bagi mendapatkan kebenaran semakan kehakiman berhubung keputusan Lembaga Pengampunan yang menolak petisyen pengampunannya atas sabitan meliwat.

Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan, yang mewakili Lembaga Pengampunan, Peguam Negara dan kerajaan Malaysia sebagai responden berkata pihaknya juga membantah permohonan Anwar dan keluarganya untuk merujuk persoalan undang-undang berhubung keputusan Lembaga Pengampunan itu, ke Mahkamah Persekutuan.

Katanya Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Nor Bee Ariffin menetapkan 12 April untuk mendengar bantahan itu dan juga permohonan Anwar.

Dalam prosiding dalam kamar pada Isnin, Anwar mewakili dirinya sendiri manakala peguam Latheefa Koya dan peguam N.Surendran bertindak bagi pihak isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan dua anak perempuan mereka, Nurul Izzah dan Nurul Nuha.

Pada 24 Jun 2015, Anwar dan anggota keluarganya memohon perintah untuk membatalkan keputusan Lembaga Pengampunan pada 16 Mac 2015, dan mendesak lembaga itu agar menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya memberi pengampunan dan membebaskan Anwar, 68.

Mereka juga memohon perintah mandamus (pelaksanaan sesuatu kewajipan awam yang tertentu) bagi mendesak Lembaga Pengampunan mengadakan semula mesyuarat dan menimbangkan semua perkara berkaitan petisyen bagi pengampunan diraja yang dikemukakan oleh anggota keluarga Anwar dan memberi nasihat yang bersesuaian kepada Yang di-Pertuan Agong.

Anwar, dalam afidavit untuk menyokong permohonan itu, mendakwa bahawa keputusan oleh Lembaga Pengampunan dicapai secara melanggar peraturan keadilan asasi dan oleh itu tidak sah.

Beliau mendakwa bahawa keputusan Lembaga itu tidak pernah disampaikan secara bertulis kepadanya atau anggota keluarganya yang mengemukakan petisyen tersebut.

Dakwanya keputusan itu juga tercemar dan mempunyai kecacatan kerana Peguam Negara ketika itu adalah pihak yang berkepentingan yang menaruh perasaan kebencian yang berlarutan terhadapnya.

Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh selepas Mahkamah Persekutuan pada 10 Feb, 2015, mengekalkan sabitan dan hukuman kerana meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain