suria

Malaysia Hubungi Kerajaan Filipina Mohon Bantuan Bebaskan Mangsa Culik

KUALA LUMPUR: Kementerian Luar telah menghubungi kerajaan Filipina bagi memohon bantuan dalam usaha membebaskan empat warga Malaysia yang diculik lapan lanun bersenjata di perairan Semporna, Sabah.

Menterinya Datuk Seri Anifah Aman berkata pihaknya telah menghubungi Setiausaha Luar Filipina, Jose Rene Almendras berhubung kejadian penculikan itu.

"Kita bertegas agar kepentingan untuk memastikan keselamatan mereka dan memaklumkan bahawa Malaysia akan terus bekerjasama erat dengan pihak Filipina dalam menangani isu itu," katanya dalam kenyataan di sini, Isnin.

Dalam pada itu, Anifah berkata kerajaan Filipina sedang mengambil langkah-langkah sewajarnya bagi mengesan dan menyelamatkan empat warga Malaysia berkenaan.

Katanya pihak Tentera Filipina melancarkan operasi sekatan maritim di perairan selatan Filipina bagi mengesan keberadaan kumpulan bersenjata terbabit.

Dalam kejadian pada 6.15 petang Jumaat lepas, empat anak kapal tunda warga Malaysia diculik sekumpulan lapan lelaki bersenjata ketika mereka dalam perjalanan pulang ke tanah air dari Manila.

Empat lelaki yang berasal dari Sibu, Sarawak itu ialah Wong Teck Kang, 31, Wong Hung Sing, 34, Wong Teck Chii, 29, dan Johny Lau Jung Hien, 21. - BERNAMA

kes culik, warga Malaysia, Filipina

Artikel Lain