suria

G25 Cadang Pembaharuan Institusi Tingkat Tadbir Urus Negara

PETALING JAYA: Kumpulan 25 Tokoh Melayu Terkemuka (G25) memerhatikan keadaan politik semasa dengan kebimbangan dan percaya pembaharuan adalah penting bagi mewujudkan tahap keyakinan yang tinggi terhadap tadbir urus negara.

"Walaupun menjadi perkara biasa dalam kerancakan sistem demokrasi untuk melihat berlakunya perubahan kepimpinan dari semasa ke semasa, ini tidak seharusnya menimbulkan kebimbangan dan ketegangan, terutamanya dalam komuniti perniagaan," kata G25 dalam satu kenyataan.

"Jika kita mempunyai institusi yang kukuh untuk memberi keyakinan bahawa apa sahaja perubahan boleh berlaku di peringkat politik, kerajaan dan pentadbiran akan terus berfungsi seperti biasa dan kedaulatan undang-undang tidak akan terjejas.

"Institusi yang kukuh memainkan peranan penting dalam menyediakan jaminan kestabilan dan kesinambungan tanpa mengira perubahan politik di bahagian atas," katanya.

G25 berkata adalah penting untuk menjaga integriti dan kebebasan agensi utama kerajaan yang terlibat dalam penyelenggaraan keadilan seperti polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Bank Negara, Peguam Negara dan badan kehakiman.

Kumpulan itu berkata polis perlu bebas daripada kawalan menteri, SPRM perlu bertanggungjawab terus kepada Parlimen dan bukan kepada perdana menteri dan bank pusat perlu mempunyai kuasa untuk memastikan kebebasannya.

Tambahnya, pejabat Peguam Negara dan Pendakwa Raya perlu dipisahkan dan bertindak secara autonomi, dan kenaikan pangkat seseorang hakim ditentukan oleh sebuah badan bebas dan bukannya perdana menteri.

Walaupun menyedari bahawa semua parti politik memerlukan dana untuk bertanding dalam pilihan raya, G25 merasakan bahawa terdapat keperluan segera untuk memastikan bahawa pembiayaan politik dikawal selia dengan betul untuk mengelakkan amalan tidak beretika.
G25, tadbir urus, reformasi

Artikel Berikut

Artikel Lain