suria

Saya Mahu Pak Lah Jadi 'Penasihat British' - Tun M

Tun Dr Mahathir Mohamad
PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi akan menjadi penasihat yang baik kepada Petronas, menurut pendahulunya Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas perdana menteri itu berkata Abdullah akan memberi 'nasihat yang baik kepada Petronas', walaupun beliau mengharapkan bakal penggantinya adalah seorang 'penasihat British'.

"Saya berharap Pak Lah boleh menjadi seorang penasihat British, bukan penasihat Melayu kerana apabila penasihat British memberi nasihat, ia akan menjadi satu arahan.

"Apabila penasihat Melayu memberi nasihat, orang hanya akan melupakannya," katanya kepada pemberita secara berseloroh selepas menghadiri simposium jenayah perang di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini, Sabtu.

Bagaimanapun, Dr Mahathir menegaskan bahawa Abdullah layak untuk memegang peranan itu kerana beliau adalah seorang bekas perdana menteri.

"Semua perdana menteri layak. Saya yakin dia akan memberikan nasihat yang baik kepada Petronas," katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata bahawa Kabinet telah bersetuju untuk melantik Abdullah sebagai penasihat Petronas yang baharu.

Dr Mahathir, yang sebelum ini memegang jawatan itu baru-baru ini ditamatkan perkhidmatannya ekoran kritikan kerasnya terhadap pentadbiran Najib.

Penasihat Petronas secara tradisinya akan menduduki tingkat 86 menara berkembar itu yang merupakan bangunan pejabat tertinggi di Malaysia.

Artikel Lain